"Sebagai manusia, saya pun ada kekurangan dan saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Kalau mereka tidak suka, saya nak buat macam mana?" – REBECCA

APABILA nama sedang meningkat naik, ada sahaja cerita-cerita kurang enak muncul. Rebecca Nur Al-Islam atau Becca, 23, tidak terkecuali menerima nasib yang sama.
Diberi tanggungjawab melakonkan watak Hendon menggantikan Ellie Suriaty dalam teater Islamik arahan Erma Fatima, Sirah Junjungan yang dipentaskan pada Mac lalu di Istana Budaya, dia meraih pelbagai tanggapan.
Tidak kurang ada yang membencinya kerana merasakan dia tidak pandai berlakon sehingga ada pihak yang menghadiahkan cermin. Hadiah itu sebagai simbolik yang sekali gus membawa maksud menyuruh Rebecca cermin dirinya sendiri, sebelum berangan menjadi pelakon popular.
Namun ketika ditanya mengenai perkara itu, Becca hanya mampu tertawa menggenap pelbagai salah tanggap yang dilemparkan kepadanya.
Malah aktres yang semakin disukai ramai itu secara tegas menafikan dakwaan, sambil memberitahu dia tidak pernah mendapat cermin sebagai hadiah daripada mana-mana penonton.
"Cermin? Mana dapat cerita ini? Seingat saya, tidak pernah pula saya dapat hadiah cermin semasa pementasan itu berlangsung, bunga banyaklah. Itu cerita mengarut," katanya menjawab soalan Kosmo! selepas kami mendapat khabar kurang senang tentang Becca itu.
Menurut Becca, ia hanyalah satu cerita yang sengaja ditokok-tambah oleh pihak lain yang tidak senang kepada dirinya. Malah, dia turut meminta supaya tidak ada yang terpengaruh dengan cerita kurang baik mengenainya, selain berterima kasih kepada Kosmo! kerana bertanyakan sendiri kepadanya mengenai hal yang diperkatakan itu.
"Sebenarnya saya sedar diri saya siapa, saya masih terlalu baru. Kak Erma beri peluang berlakon di bawah arahannya sudah cukup bagus. Kalau orang benci kerana watak, itu bagus, maknanya lakonan saya berkesan. Kalau ada yang anggap lakonan saya yang tidak bagus, itu terpulang pada mereka, sebagai manusia, saya pun ada kekurangan dan saya tidak boleh memuaskan hati semua orang. Saya masih belajar untuk jadi yang terbaik," tuturnya ikhlas.
Bintang utama Gadis Kosmo
Selain teater, Becca sudah berlakon lebih 50 buah drama termasuk drama terbaru lakonannya iaitu, Gadis Kosmo.
Drama bersiri itu menampilkan banyak pelakon baru dan diarah pula oleh seorang pengarah baru.Tetapi, itu bukanlah satu alasan untuk pelakon dan pengacara ini berlagak diva atau tunjuk bagus.

Ang Pei Chern, Rebecca dan Adriefaiz Adzlan.
Menurutnya, tiada istilah diva dalam dirinya. Meskipun dikelilingi oleh pelakon baru, Becca tidak pernah berubah sikap.
"Mana ada diva-diva, semua pelakon dalam drama ini sama sahaja. Tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Pihak produksi dan pengarah melayan kami sama sahaja walaupun saya paling senior antara semua pelakon.
"Saya rasa setiap hari di lokasi penggambaran merupakan pembelajaran untuk saya. Saya tidak pernah rasa diri diva, kalau saya diva rasanya periuk nasi saya dalam dunia lakonan tidak tahan lama," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama tersebut di Angkasapuri baru-baru ini.
Tambahnya lagi, isu diva tidak patut dikaitkan dan tidak relevan dengan dirinya.
"Saya baru empat tahun dalam industri seni, macam mana pula saya nak jadi diva. Pelakon senior pun tidak begitu, kenapa saya pula nak jadi macam itu? Dalam Gadis Kosmo, mereka semua menjadi kawan baik saya, tidak kiralah di set penggambaran ataupun di luar," ujarnya.
Selain bekerjasama pertama kali dengan penerbit Datin Zaiton Mohd. Jiwa dan pengarah Nik Johan Nik Mohamed Noor, Becca juga mendapat sahabat baik iaitu Ang Pei Chern atau Chern.
Chern yang memegang watak Celina Ng, merupakan sahabat baiknya dalam drama tersebut dan berlarutan sehingga ke luar set penggambaran.
"Kami memang rapat, walaupun baru kenal tetapi disebabkan kepala kami yang gila-gila, saya rasa selesa dengannya sehinggalah hari ini.
"Walaupun penggambaran sudah tamat Jumaat lepas, kami masih berhubungan dan masih lepak bersama kalau ada kelapangan," kata Becca yang memiliki darah campuran Arab dan Cina.
Raih banyak kenangan manis
Menceritakan lebih lanjut tentang lakonannya dalam drama Gadis Kosmo, terlalu banyak kenangan manis yang tercipta untuknya dan semua barisan pelakon yang terbabit.
Mereka bukan sahaja dapat melontarkan pandangan bersama pengarah tetapi juga kebanyakan lokasi penggambaran umpama percutian buat mereka.
"Bayangkan, buat pertama kalinya saya naik belon panas, memandu kapal layar dan menunggang kuda sendiri. Semua itu akan disimpan dalam memori.
"Tambahan pula mudah bekerjasama dengan semua pelakon. Meskipun mereka pelakon baru tetapi mereka semua sudah pandai berlakon dan mempunyai pengalaman luas, ada yang telah berlakon filem di luar negara," ujarnya.

Pendapat Becca turut dipersetujui oleh sahabatnya, Chern yang menyifatkan perkenalannya dengan Becca sesuatu yang menyeronokkan.
"Mula-mula takut juga nak tegur dia. Makluman Becca lebih senior, saya ingatkan dia berlagak tetapi rupa-rupanya tidak. Kami senang bergaul dan dia banyak beri tunjuk ajar pada saya.
"Hanya pada awal penggambaran saja saya rasa kekok sedikit, lama-lama bila tahu perangainya yang gila-gila, saya pun okey dan kami berlakon macam kami sudah kenal lama," kata Chern.
Gadis yang berusia 18 tahun itu berbicara lagi, sepanjang berlakon bersama Becca, dia tidak pernah rasa tersisih.
"Kami berdua baik, masa uji bakat tidaklah rapat tetapi bila di set penggambaran semua jadi lain. Memang ia suatu pengalaman yang menyeronokkan, rasa rindu pula," ujarnya.
Meskipun begitu, drama terbitan Global Station Sdn. Bhd. ini tidak terlepas daripada cakap-cakap negatif kerana ada pihak mendakwa ia bukannya drama tetapi lebih kepada iklan, memandangkan kekerapan produk kecantikan yang menaja drama ini tersiar dalam beberapa babak drama ini.
Menurut Zaiton, drama yang mendapat tajaan P&G itu bukanlah seperti yang didakwa kerana katanya, sungguhpun ia mendapat tajaan produk kecantikan terkenal ia masih sebuah drama yang mempunyai jalan cerita.
"Memanglah kami selitkan produk tajaan tetapi bukanlah sekerap yang dikatakan. Kekuatan utamanya masih lagi terletak pada jalan cerita dan lakonan para pelakon.
"Mungkin orang kata begitu kerana kualiti gambarnya yang cantik seperti iklan. Kalau kerana itu sebabnya, tidak wajarlah untuk mengatakan drama ini sebuah iklan," kata Zaiton.
Buat penonton yang ingin menyaksikan apa sebenarnya isi kandungan drama Gadis Kosmo serta keletah dua orang gadis yang bekerja sebagai penulis kolum di Agensi Mode, anda boleh saksikan mereka dalam Gadis Kosmo, di TV2, bermula malam ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: