|
SAMBUTAN penonton terhadap filem seram sejak mula filem Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM) ditayangkan pada 2004 mengubah selera penonton yang cenderung kepada genre komedi dan cinta. |
Ketika itu, PHSM berjaya mencatat kutipan tertinggi sebanyak RM3.2 juta mengatasi 21 filem cereka lain yang ditayangkan pada tahun sama.
Begitu juga dengan sekuel PHSM setahun selepas itu yang meraih kutipan kedua tertinggi selepas Gangster sebanyak RM2.75 juta.
Namun antara filem seram yang pernah dihasilkan, kutipan paling tinggi diterima filem Jangan Pandang Belakang (JPB) sebanyak RM5.8 juta.
Atas sambutan positif penonton pada filem seram, ramai produser yang berminat untuk mencuba nasib.
Tahun ini, filem Maut dan Rasukan Ablasa sudah selesai tayangan manakala Jangan Tegur mula menemui penonton sejak 9 April lalu.
Dalam keghairahan penonton menyaksikan filem seram, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga mengambil inisiatif menyemarakkan persada filem tempatan menerusi Pameran Filem Seram 2009 yang diadakan di Galeri Perfileman di Jalan Pahang Kecil Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, berkata pameran bermatlamat mendekatkan dan memberi pendedahan pada peminat filem mengetahui sejarah perkembangan filem seram tempatan yang bermula sejak 1950-an hingga kini.
Katanya, pengunjung bukan hanya berpeluang mendapatkan maklumat mengenai filem seram, tetapi turut menyaksikan kostum dan set filem yang pernah digunakan.
"Usaha untuk mengadakan pameran seperti ini dibuat mengikut keadaan tertentu. Sebelum ini, Finas turut mengadakan pameran Imbas Kembali yang mengenang sumbangan seniman dan seniwati tanah air yang sudah meninggal dunia.
"Bagi Finas, pameran seperti ini adalah satu keperluan dalam menyampaikan maklumat pada masyarakat.
"Bagaimanapun, tema pameran berbeza mengikut setiap tiga bulan. Kali ini, pameran filem seram diadakan dan mungkin selepas ini tema lain seperti komedi pula dipamerkan," katanya.
Finas sebelum ini mengadakan tinjauan pada orang ramai mengenai apa yang menarik perhatian mereka untuk hadir ke pameran dan antara cadangan mereka adalah mewujudkan pameran filem seram.
"Pada saya, pameran sebegini sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Menerusi pameran ini, pengunjung dapat ketahui elemen seram yang ditayangkan dalam filem hanya rekaan. Pameran ini dianggap sebagai dokumentasi pada filem seram yang pernah diterbitkan.
"Untuk filem seram pada tahun ini, empat filem sudah siap manakala lapan filem lagi masih dalam pembikinan. Jika pameran ini difikirkan galakan pada produser filem untuk lebih giat hasilkan filem seram, itu sudah bagus," katanya.
Mengenai bahan pameran, Mahyidin menyatakan produksi filem memberi kerjasama yang baik dan sudi menyumbang kostum dan peralatan atau props yang pernah digunakan ketika penggambaran sebelum ini.
Katanya, ada sebahagian bahan pameran dibuat kembali memandangkan bahan asal sudah dibuang.
Di sebalik penganjuran pameran ini, beliau percaya ia dijangka menarik sambutan ramai kerana filem seram mempunyai tarikan tersendiri.
"Saya berpendapat filem seram mempunyai tarikan kuat pada penonton. Dulu, ketika filem Nang Nak (2000) ditayangkan, filem itu berjaya menaikkan kembali persada filem Thailand.
"Di negara kita sendiri, ketika PHSM ditayangkan, ia diklasifikasi untuk penonton 18 tahun ke atas dan filem ini turut menjadi permulaan pada penerbitan filem seram lain.
"Sebelum ini, penerbitan filem kita terikat dengan syarat tidak boleh dikaitkan dengan unsur tahyul, tetapi kini Lembaga Penapisan Filem (LPF) lebih terbuka dengan memberi peluang untuk produser filem hasilkan filem lebih aksi dan fantasi.
"Mungkin filem seram akan diwujudkan sebagai satu kategori untuk anugerah pada Festival Filem Malaysia akan datang," katanya.
Pameran Filem Seram ini dibuka secara percuma pada orang ramai bermula 7 April lalu hingga 30 Mei depan, dari 9 pagi hingga 5 petang.
Antara filem yang mengambil bahagian adalah PHSM, JPB, Chermin, Kala Malam Bulan Mengambang.
Turut sama filem lama seperti Toyol dan Sumpahan Orang Minyak.
Di samping pameran, pengunjung juga berpeluang menonton tayangan filem secara percuma dan menang hadiah menarik menerusi kuiz yang disediakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: