KETIKA ini ada dua program TV yang dihasilkan untuk mencari bakat dalam bidang lakonan. Dua program itu masing-masing berjudul Pilih Kasih yang bakal disiarkan menerusi TV2 dan satu lagi berjudul Anak Wayang yang disiarkan menerusi Astro Ria dan Astro Prima. Kini, produksi untuk dua program realiti TV ini sedang rancak memulakan kegiatan mencari peserta di seluruh negara untuk menentukan siapa yang layak menyertainya.
Memang kelihatan satu benda baru apabila pertandingan realiti mencari bakat lakonan disiarkan menerusi stesen TV. Selama ini terlalu banyak pertandingan mencari penyanyi menerusi realiti TV dengan saban tahun diadakan tetapi malangnya industri muzik masih berada dalam keadaan merosot, malah bintang nyanyian yang dilahirkan menerusi program terbabit sekadar indah khabar dari rupa. Mereka hanya glamor pada peringkat mula saja dan apabila berada secara realiti dalam industri muzik, bakat mereka akhirnya tenggelam dengan glamor mereka sedangkan bakat kurang bermutu. Yang tinggal cuma beberapa kerat saja meneruskan bakat dan masih meraih populariti.
Malah, pelbagai program lain termasuk pertandingan karaoke dan peraduan menyanyi pada acara karnival tertentu, malah sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 juga dianjurkan Bintang Idola Berita Harian, semuanya menjurus kepada usaha mencari bakat baru dalam bidang nyanyian. Dalam erti kata lain program pertandingan mencari penyanyi sudah bersepah dan ternyata ia tidak begitu membantu industri muzik malah menjadi makin teruk.
Kini, pertandingan mencari pelakon juga diadakan atas alasan sama untuk mencari bakat baru. Bakat baru yang diimpikan ini khusus dalam lakonan. Kebetulan artis yang menyertai realiti TV nyanyian dulu sudah ramai juga yang mengasah bakat dalam lakonan kerana tidak boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian. Jadi, bakat baru nyanyian sudah beralih menjadi pelakon. Jadi, bakat baru dalam lakonan juga sudah bercambah tetapi sejauh mana mereka ini memang berbakat dalam lakonan atau sekadar menjual nama dan paras rupa? Apakah pertandingan mencari pelakon menerusi pertandingan realiti TV baru sekadar nasi tambah atau memang ia bermatlamat jujur untuk mencari bakat yang hebat dan benar-benar bermutu? Kita jangan lupa, pertandingan realiti jenaka, Raja Lawak Astro juga turut memberi peluang bakat baru muncul dalam lakonan, ini juga menambahkan lagi jumlah pelakon untuk menghiasi filem dan drama tempatan. Mungkin ia belum cukup.
Maka, program Pilih Kasih dan Anak Wayang adalah satu lagi wadah untuk melihat usaha menambahkan lagi bakat baru dalam bidang lakonan kerana sebelum ini tidak pernah pertandingan seumpama ini secara khusus diadakan apatah lagi dengan menggunakan konsep realiti TV dan membabitkan undian daripada orang ramai. Kita tidak tahu sejauh mana keberkesanannya kerana ia masih belum bermula tetapi curiga terhadap bakat yang dipilih nanti tetap ada kerana selagi membabitkan undian orang ramai selagi itulah juga ia akan menjurus kepada kualiti yang boleh dipertikaikan kerana kelompok yang suka mengundi menerusi SMS tidak sama dengan penilaian oleh panel juri yang berwibawa.
Persoalannya, apakah program mencari bakat pelakon baru ini mampu memenuhi keperluan industri perfileman kita atau sekadar untuk memberi keuntungan pada stesen TV menerusi undian SMS? Tentu jawapannya adalah seimbang kerana selain mencari keuntungan untuk stesen TV ia juga dapat mengangkat nama baru dalam bidang lakonan dari segi populariti mendadak sekali gus berpeluang meletakkan bakat baru itu dalam produk filem atau drama. Ini penting mengikut elemen komersialisme kerana bakat baru yang popular mampu memberi daya tarikan kepada penonton.
Biar apapun tujuannya, kita berharap Pilih Kasih dan Anak Wayang bukan sekadar mencari pelakon hangat hangat tahi ayam. Biarlah bakat baru yang dihasilkan menerusi dua program ini mampu menambahkan lagi bakat muda yang berkarisma dalam lakonan dan seterusnya memberi kebanggaan dalam dunia filem dan drama tempatan. Kita berharap pihak yang diamanahkan mencari bakat baru untuk dua program realiti TV itu bijak menilai dan memilih mereka yang menghadiri sesi uji bakat.
Kita juga bimbang, jika bakat baru lakonan yang dicari sekadar berbakat suam-suam kuku tetapi dipilih kerana rupa cantik dan kacak atau kerana daya tarikan personaliti semata-mata, mereka tak akan kekal lama dalam industri. Inilah yang menjadi kesilapan besar dalam pertandingan realiti nyanyian kerana bakat yang dipilih untuk menang selalunya sekadar gah pada populariti tetapi bakat sebenar tidak menyerlah.
Ada kalanya kita lupa apabila membuat pemilihan menerusi undian atas alasan pilihan secara demokrasi, ia tidak mengundang keadilan sebenar kerana selalunya yang dipilih berdasarkan undian ramai ternyata tidak mempunyai mutu sebenar tetapi disebabkan elemen lain. Lihat saja ramai penyanyi yang menjadi peserta, kemudian layak ke final dan menang Akademi Fantasia, One In A Million, Gang Starz, My starz LG dan Malaysian Idol serta banyak lagi program realiti TV nyanyian tetapi gagal meneruskan bakat mereka dan populariti juga tidak bertahan lama. Kalau ada pun, cuma sekadar dua tiga nama saja itu pun bukanlah hebat sangat.
Inilah yang kita gusarkan apabila mereka yang nanti layak ke final atau menang Pilih Kasih atau Anak Wayang nanti sekadar meriah pada populariti tetapi kualiti lakonan mereka memalukan - tidak setanding ramai pelakon berbakat dan bermutu yang sedia ada dalam pasaran sekarang. Ini boleh menjejaskan imej industri perfileman itu sendiri seperti yang berlaku dalam industri muzik.
Pilih Kasih dan Anak Wayang diharap mampu mengubah suasana industri perfileman kita kerana sememangnya bakat baru dalam dunia lakonan terutama untuk filem cereka perlu ditambah supaya ada keseimbangan antara kualiti dan populariti. Ketika ini industri filem kita memang ramai pelakon berbakat besar dan bermutu tetapi mereka tidak diperkuatkan dengan elemen populariti sekali gus menyukarkan produser atau pengarah untuk mencari bakat baru yang beraksi dalam filem mereka untuk watak hero dan heroin. Lihat sekarang, untuk mencari watak utama filem memang sukar dan ramai produser merungut bakat yang ada tidak ada unsur komersial kerana kebanyakan wajah mereka sering muncul dalam drama TV. Ada juga aktor atau aktres yang memang bagus berlakon tetapi tiada daya tarikan pula. Inilah dilema industri filem kita yang menghadapi masalah mencari pelakon filem bermutu dan ada kekuatan populariti.
Kata orang, kalau tiada cempedak, baiklah diambil nangka...
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: