Thursday, April 23, 2009

Emosi Jay Jay

Bersyukur masih diberi kepercayaan terbitkan album walaupun keadaan pasaran tidak menentu

ATAS kepercayaan yang diberikan syarikat rakaman FMC Music sejak 2004, dia masih terus utuh melebarkan sayap seninya dengan terhasilnya album berjudul Emosi. Lebih tiga dekad kekal memperhambakan diri sebagai penyanyi, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus, 52 tetap tegar menjadikan dunia nyanyian sebagai punca rezeki.

Emosi menggambarkan apa yang dirasai dan bayangkan biarpun sudah di ambang ‘senja’, penyanyi yang juga aktif sebagai pemuzik ini masih mampu menarik nafas syukur diberi kesempatan tampil dengan album baru.

Katanya, di saat keadaan pasaran yang tenggelam timbul, kebanjiran lagu luar serta kepesatan dunia maya, Emosi tetap hadir menjadi pertaruhan terbarunya.

Lapan lagu dimuatkan di dalam album ini, empat daripadanya adalah karya baru dan selebihnya lagu yang dinyanyikan kembali. Lagu Permaisuriku hasil ciptaan Omar K dan Azlan Abu Hassan serta lirik oleh Zel menjadi medan menguji sama ada Jay Jay masih lagi relevan atau tidak. Ternyata lagu itu mula mendapat perhatian ramai.

“Lagu itu sudah dimainkan di stesen radio Suria FM dan Hot FM. Paling mengujakan saya sewaktu membuat persembahan untuk sebuah stesen radio di Pantai Timur dan alhamdulillah sambutan yang diterima apabila lagu itu dipersembahkan cukup mengejutkan. Lagu itu mempunyai melodi yang ringkas terutama di bahagian korus.

“Sewaktu pembikinan album ini, berpuluh-puluh lagu juga yang ada dalam simpanan tapi akhirnya hanya empat lagu saja yang dipilih di antara yang terbaik. Soal lambat atau cepat keluar album bukan satu isu, janji penantian selama ini biar berbaloi,” katanya sewaktu ditemui dalam jemputan makan tengah hari di Restoran Seri Melayu baru-baru ini dan sesi ini diaturkan sendiri FMC Music.

Dunia nyanyian bagaikan kulit yang terus menyelaputi tubuhnya dan katanya bukan tiada pilihan lain, namun dek kecintaannya yang amat sangat dalam bidang ini, semuanya bukan lagi fantasi atau cakap kosong.

Menurut suami kepada Zaitonn Wahib ini, dia tidak membuat perniagaan lain untuk menyara hidup diri dan keluarga.

“Mungkin tuah yang menyebabkan saya masih berada di pentas seni dan saya sendiri tidak menyangka mampu melangkah sejauh ini. Kekal sebagai anak seni sepenuh masa, malah hanya nyanyian dan bermain muzik saja kelebihan saya. Itu saja yang mampu saya lakukan.

“Abang saya, Azhar sendiri pernah meminta saya membuat pilihan sama ada untuk belajar atau memilih bidang muzik. Jawapan saya pastinya muzik dan saya mahu menjadi pemuzik. Sejak usia 12 tahun lagi, saya sudah bermain gitar dan mempunyai band, The Cats. Ketika itu, kumpulan Beatles dan lagu pop yeh yeh mula memenuhi atmosfera muzik tempatan.

“Waktu itu, tiada istilah artis macam sekarang. Yang digunakan hanyalah seniman, seniwati atau barang kali superstar. Istilah diva pun belum wujud lagi masa itu. Saya bermula dari bawah dan fasa perjalanan turun naik itu sentiasa ada,” katanya yang berpendapat kehadiran lagu baru boleh menjadi sandaran selain berharap lagu lama terutamanya untuk undangan membuat persembahan.

Dalam kehidupan, lumrah pasti ada masa indah dan masa pahit, jejaka kelahiran Kedah yang dibesarkan di Kelantan ini tidak menafikan pernah mengalami saat duka. Apatah lagi dengan kehadiran muzik luar dan kemudahan memuat turun lagu sepantas kilat tanpa perlu membeli album fizikal, sedikit sebanyak gambaran situasi yang cukup menyedihkannya.

“Tipulah kalau saya cakap tak pernah rasa menyesal dan sedih melihat industri seni kita hampir lumpuh. Ketika itu, masa depan juga dilihat kabur dan tak menentu. Bayangkan penggiat seni tempatan begitu sukar untuk melebarkan sayap ke luar negara, tapi sebaliknya penyanyi dari luar bebas dan diterima di negara kita tanpa sebarang sekatan.

“Tapi sejak kebelakangan ini, usaha kerajaan dan pihak Karyawan menerusi inisiatif seperti mewujudkan kuota 90:10 yakni melebihkan karya sendiri di pasaran tempatan menampakkan sedikit hasil yang boleh dibanggakan. Sekurang-kurangnya kita nampak sinar untuk karya tempatan terus bernafas.

“Cuma yang tak boleh disekat ialah penguasaan teknologi terkini yang membolehkan lagu kita dimuat turun dengan mudah di alam maya. Belum ada undang-undang tegar yang boleh menghalang perkara ini daripada berterusan hingga memusnahkan harapan penyanyi di Malaysia ,” katanya.

Daripada sisi lain, Jay Jay memandang sihat kebangkitan gelombang baru seperti band indie dan penyanyi muda. Bahkan, Jay Jay sendiri pernah melalui fasa artis berkumpulan yang mencetuskan revolusi dunia muzik seperti Black Dog Bone, Carefree dan D’Lloyd. Kini kehadiran Meet Uncle Hussain, Hujan, Bunkface dan Yuna, sekadar menyebut beberapa nama, ia satu petanda positif yang sentiasa dialu-alukan.

“Inilah senario muzik yang kita inginkan sejak dulu lagi. Kenapa perlu mengagungkan pemuzik luar sedangkan negara kita sendiri ada deretan pemuzik yang baik. Sebagai contoh, kalau kumpulan Matta dari Indonesia boleh berjaya dan dikenali di Malaysia, kenapa kita harus lupa bahawa kita pun ada bakat yang jauh lebih baik daripada Matta,” katanya mengakhiri bicara.

INFO: Jay Jay

  • Mempunyai tiga orang anak perempuan dan seorang lelaki.

  • Berkahwin dengan isterinya ketika remaja.

  • Tahun 1979 mula melakar nama apabila menganggotai kumpulan Carefree sebagai vokalis utama. J Jay mengikuti jejak Andy Peterson, Aman Shah dan Roslan Imam yang pernah berada di posisi yang sama.

  • Album pertamanya bersama Carefree berjudul Kebebasan 1 mula menambat perhatian apabila lagu Rindu Bayangan mula menjadi hit malah tidak keterlaluan dikatakan lagu itu masih menjadi dendangan ramai. Dia sendiri tidak menidakkan lagu itu memberi impak yang cukup bermakna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: