Friday, April 24, 2009

Disney rangsang minda, imaginasi

Kanak-kanak berupaya meningkatkan daya imaginasi dan intelektual yang tinggi dalam memperkukuhkan komunikasi harian melalui Disney On Ice.




MENONTON watak animasi yang biasanya dilihat di layar TV secara langsung di hadapan mata, terasa diri penulis seperti berada di alam fantasi dunia kartun.

Ketika itu, suasana Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur penuh sesak dengan kehadiran penonton terutama golongan cilik. Dengan satu matlamat untuk menyaksikan persembahan kartun idola, ibu bapa sanggup menghabiskan masa selama dua jam semata-mata ingin merealisasikan impian anak-anak mereka.

Kanak-kanak adalah antara insan paling gembira pada waktu itu. Mereka dilihat 'meronta-ronta' untuk mendapatkan bekalan makanan seperti bertih jagung dan air sebelum persembahan bermula.




Malah, ada di antara mereka tidak sabar memasuki dewan persembahan. Suhu sejuk di segenap persekitaran dewan, dengan hiasan yang begitu mengujakan, mampu menarik perhatian para pengunjungnya.

Kemunculan tujuh karakter kartun Disney Princess Wishes iaitu Cinderella, Snow White, Mulan, Sleeping Beauty, Jasmine, Ariel dan Belle yang dinantikan mendapat tepukan gemuruh.

Ini diikuti dengan kehadiran Mickey, Minnie Mouse dan Goofy yang menambahkan lagi keriangan para penonton.

Persoalannya, adakah persembahan seperti itu sekadar satu bentuk hiburan semata-mata atau mengisi masa terluang bersama keluarga?

Adakah ia mampu meningkatkan daya pemikiran dan kreativiti kanak-kanak?

Seorang ibu, Nor Salinawati Rahman, 29, memberitahu, keberkesanan mendidik anak-anak menerusi aspek mengenali, menilai dan mempelajari sesuatu perkara bermula daripada tontonan atau mainan bergambar.

Menerusi gambaran atau tayangan secara langsung, tidak kira sama ada menerusi cerita kartun mahupun rancangan berunsur pendidikan, ia dapat mempengaruhi ingatan sekali gus menguatkan pemikiran mereka.


MENERUSI pementasan lakonan, kanak-kanak berpeluang meneroka sesuatu perkara yang baru.


"Apabila menyaksikan pementasan ini, kanak-kanak dapat mengingati dan menyamakan karakter-karakter di pementasan gelanggang ais itu dengan apa yang ditonton di kaca TV.

"Malah, ramai yang menghafal skrip watak kartun kegemaran mereka dengan lancar.

"Impak daripada persembahan kartun Disney itu, kanak-kanak dapat meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi," kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Katanya, melalui gambaran atau persembahan yang penuh berwarna-warni, ia juga dapat menarik minat kanak-kanak meminati dunia pembelajaran.

Tan Kim Lai, 31, pula berkata, kanak-kanak ibarat sehelai kain kosong yang perlu dihiasi dengan corak dan lukisan yang menarik.

"Itulah antara langkah penting dalam mendidik dan mengajar kanak-kanak seawal usia kecil. Tanpa bantuan dan sokongan ibu bapa, rosaklah lukisan yang dihasilkan tadi.


PERSEMBAHAN Disney On Ice memberi impak mendalam kepada tumbesaran kanak-kanak.


"Begitu juga dengan cara permulaan kita mendidik anak-anak agar meminati dunia pembelajaran. Menerusi tayangan bergambar seperti persembahan Disney On Ice ini, ia secara tidak langsung dapat mendidik mereka meneroka alam pembelajaran yang baru," ujarnya sambil menegaskan walaupun harga tiket mahal, anak-anak berpeluang menjelajah perkara baru.

Seorang lagi penonton, Chandran Govinder, 29, berkata, meluangkan masa menonton persembahan kartun kegemaran kanak-kanak itu, ia bukan sahaja dapat menghilangkan stres ibu bapa, malah mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.


MENONTON persembahan Disney On Ice bukan sahaja dapat mengurangkan stres ibu bapa, malah mengeratkan hubungan kekeluargaan.


"Kanak-kanak mempunyai pilihan dan impian mereka sendiri. Sekiranya ibu bapa gagal merealisasikan kehendak anak-anak, siapa lagi yang akan menunaikannya.

"Menonton cerita kartun yang ditayangkan secara langsung bukan sahaja memberi kesan kepada kognitif tumbesaran kanak-kanak, malah dapat mengurangkan bebanan kerja ibu bapa itu sendiri.

"Bagi saya, selain kanak-kanak, ibu bapa juga berpeluang bersantai setelah seharian penat bekerja, selain dapat menunaikan keinginan anak-anak mereka.

"Tidak dinafikan dengan persembahan yang ditayangkan ini, mereka dapat menguasai seni persembahan pembelajaran dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, sebanyak 90 orang kanak-kanak kurang bernasib baik dari rumah Pure Life Society, Kuala Lumpur turut hadir menyaksikan persembahan Disney On Ice tersebut.


MENERUSI pementasan Disney On Ice kanak-kanak dapat menguasai seni pembelajaran dengan lebih baik.


Kanak-kanak berusia antara tiga hingga 17 tahun itu begitu gembira dan terhibur dengan gelagat yang ditunjukkan semua watak kartun pilihan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Tenusu, F&N Dairies (M) Sdn. Bhd., syarikatnya sentiasa memberi bantuan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut untuk menggalakkan pembelajaran dalam suasana yang menyeronokkan.

"F&N Dairies bukan sahaja mahu membawa kegembiraan dan hiburan kepada kanak-kanak ini, tetapi juga mahu membina keyakinan diri kanak-kanak menerusi seni dan interaksi sosial.

"Kebanyakan kanak-kanak di Pure Life Society tidak berpeluang menikmati pelbagai keseronokan seperti yang dialami oleh kanak-kanak yang bernasib baik.


AKSI lompatan yang dipersembahkan dalam Disney On Ice memberi impak positif kepada para penonton.


"Pertunjukan seperti Disney On Ice ini boleh mencetuskan pelbagai imaginasi dan melahirkan bermacam-macam idea menarik. Jika orang dewasa boleh teruja dengan keajaiban Disney, inikan pula kanak-kanak," katanya.

Di samping itu, F&N Magnolia sebagai penaja utama pementasan tersebut menambahkan kegembiraan kanak-kanak tersebut dengan menghadiahkan cenderahati Princess Wishes dan produk Magnolia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: