
KUALA LUMPUR – Malam minggu di ibu kota kini semakin menakutkan terutama di sekitar Jalan Changkat Thambi Dollah di sini.
Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan pihak polis, sebanyak 1,206 kes jenayah membabitkan rompak dan ragut dicatatkan sepanjang bulan Januari hingga pertengahan bulan ini di Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu lebih 100 kes berlaku di Jalan Changkat Thambi Dollah.
Kadar itu menyaksikan peningkatan lebih 100 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu yang hanya mencatatkan 606 kes.
Senario itu menyebabkan kawasan berkenaan diisytiharkan sebagai ‘kawasan hitam’. Kes terbaru melibatkan seorang pelajar sebuah kolej, Loo Kai Jun, 20, yang dipukul sekumpulan lelaki pada 4 April lalu.
Menurut Kai Jun, insiden itu bermula semasa dia menunggu bas kira-kira pukul 7 malam sebelum dikerumuni sekumpulan lelaki.
“Seingat saya, sekumpulan 20 orang meluru ke arah saya dan memukul kepala saya dengan batang besi kerana ingin mencuri dompet saya. Saya melarikan diri tapi malangnya terjatuh di atas jalan raya. Mereka beredar apabila muncul seorang lelaki menolong saya yang ketika itu berlumuran darah,’’ jelasnya.
Bagaimanapun, lelaki yang menyelamatkannya itu rupa-rupanya ‘dua kali lima’ kerana dia juga penjenayah.
“Selepas membawa saya ke hospital, lelaki itu kata pada jururawat hospital kononnya dia seorang polis, jadi saya memberinya dompet saya yang mengandungi MyKad, wang RM23, tiket bas kolej selain menyerahkan telefon bimbit dan baju kepadanya semasa saya menjalani pemeriksaan X-ray.
“Apabila semuanya selesai, saya mencari lelaki itu tetapi dia menghilangkan diri,’’ ujar Kai Jun ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: