Thursday, April 16, 2009

BORAK LOKASI: Kendali 'jimmy jib' cabar Farid


DENGAN ketinggian 35 hingga 40 kaki dan mencecah berat 120 kilogram, nyata bukan tugas mudah mengendalikan 'jimmy jib' atau istilah dalam bahasa Melayunya, pengendali kamera automatik.

Seseorang yang dipertanggungjawab itu harus mempunyai susuk tubuh yang tinggi dan tegap selain tangkas mengendalikan kedua-dua butang yang berada di sebelah kiri dan kanan tangan. Waktu sama dapat mengimbangi peralatan dengan baik sekali gus mendapatkan sudut gambaran yang baik.

Muhamad Farid Abd Rahman (Farid), 26, selaku operator jimmy jib berkata, biasanya peralatan itu digunakan untuk acara besar seperti konsert, majlis anugerah, pembikinan filem serta rakaman program membabitkan ramai penonton dan lokasi rakaman yang luas.

"Bagi program 'game show' seperti ini, biasanya jimmy jib digunakan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh perjalanan sesebuah acara atau rakaman program.

"Kelebihan penggunaan jimmy jib, dapat membantu jurugambar merakamkan babak dari sudut tinggi tanpa perlu mengambil risiko memanjat tempat tinggi.

"Kemampuan mereka yang mengendalikan jimmy jib ini juga perlu dinilai dari sudut fizikal kerana peralatan ini sangat berat. Jika bertubuh kecil atau rendah, mungkin agak sukar untuk mengendalikan sekali gus mengimbanginya.

"Melakukan kerja ini juga berisiko jika pemasangan larasnya tidak sempurna ia boleh mencederakan penonton. Bahkan, saya perlu berhati-hati setiap kali menggerakkannya bagi mengelakkan perlanggaran dengan lampu atau kabel berlaku," katanya.

Bekas graduan penyiaran Institut Interaktif Media Malaysia (MIIM) ini berkata, proses pemasangan jimmy jib begitu rumit kerana terdapat beberapa beberapa peringkat.

Dimulakan dengan pemasangan teras dan diikuti laras jimmy jib, jurutera akan menguji bahagian elektrikal seterusnya menyambungkan satu demi satu kabel antaranya terdiri dari monitor dan kamera. Pemasangan perlu dilakukan individu berpengalaman dalam teknikal," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: