Tuesday, April 21, 2009

‘Bas terseret di lereng bukit’


ROSNIWATI mencium anak bongsunya, Norassira Ahmad Kushairi sambil diperhatikan oleh ahli keluarga sekembalinya dari Jeddah di KLIA, Sepang semalam.


SEPANG – “Saya nampak bas dipenuhi dengan debu, bunyi cermin pecah dan bas terseret di sepanjang lereng bukit ketika kejadian berlaku.’’

Demikian cerita Rosniwati Md. Ali, 39, salah seorang mangsa terselamat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat jemaah umrah dari Malaysia di Bir Ali ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah pada 18 April lalu.

Beliau yang duduk di tempat duduk keenam sebelah kanan bas berkata, sebelum tiba di tempat kejadian, pemandu bas dilihat menggunakan telefon bimbit dan bas dipandu berada dalam keadaan terhoyong-hayang.

Katanya, tiba-tiba sahaja bas tersebut melanggar lereng bukit dan terseret sejauh beberapa meter sebelum memasuki lorong bertentang lalu melanggar sebuah pikap.

“Saya sempat melihat jam tangan dan pada masa itu pukul 8.50 pagi. Dalam keadaan kelam-kabut itu kami semua (jemaah) terpelanting di dalam bas dan tidak mampu berbuat apa-apa,’’ ceritanya ketika ditemui media di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, kejadian yang berlaku pada pukul 8.30 pagi waktu tempatan itu telah mengorbankan empat jemaah iaitu Mohamad Ali Borhan, 68, dari Melaka; Rozita Jamaludin, 43, dari Perak; Sam Mad Saman, 60, dari Selangor dan Abdul Jalil Ahmad, 66, dari Negeri Sembilan.

Seorang lagi mangsa terselamat, Datin Fauziah Aziz, 46, berkata, ketika kejadian, beliau sedang tidur kerana kepenatan selepas menaiki penerbangan sebelum itu.

Beliau memberitahu, suasana riuh-rendah kedengaran ketika berada dalam bas disebabkan semua 19 jemaah terhumban dari tempat duduk masing-masing ketika bas melanggar lereng bukit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: