AMPANG: Kerana sekotak rokok sekumpulan 40 samseng mengamuk membabi buta sebelum mereka membelasah dan menetak dua pelanggan yang ketika itu minum di sebuah restoran di Bukit Indah, dekat sini awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kumpulan terbabit sebelum itu dikatakan berang kerana seorang lelaki tersepak kotak rokok yang terjatuh di atas jalan sebelum mereka mengamuk dan memukul lelaki terbabit.
Bagaimananpun, lelaki itu sempat melarikan diri dan meminta pertolongan daripada beberapa pelanggan yang kebetulan berada di restoran terbabit tanpa menyedari dia diekori empat ahli kumpulan berkenaan.
Ketika itu, tujuh pelanggan yang berada di restoran terbabit cuba membantu lelaki yang mengalami kecederaan itu, mereka secara tiba-tiba diserang empat kumpulan samseng berkenaan yang bersenjatakan parang.
|
Menurut sumber, lelaki yang cedera itu kemudian melarikan diri manakala tujuh pelanggan terbabit terpaksa melawan bagi mempertahankan diri.
|
“Ketika bergelut kira-kira 15 minit, seramai 36 ahli kumpulan terbabit yang datang menaiki enam kereta dan selebihnya motosikal turut campur tangan dan membelasah tujuh pelanggan berkenaan tanpa usul periksa.
“Lima daripada pelanggan terbabit dapat melarikan diri manakala dua tidak sempat kerana dikepung kumpulan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, seorang daripada pelanggan restoran itu dilibas parang di belakang badannya selain turut ditikam di paha dipercayai menggunakan pemutar skru.
“Ketika itu, rakan mangsa cuba membantu namun dia ditangkap dan dibawa masuk ke dalam kereta sebelum dilepaskan di pasar raya Tesco Ampang.
“Rakan mangsa turut ditikam di bahagian kiri dan kanan dadanya dan kini dalam keadaan koma,” katanya.
Menurutnya, dua mangsa terbabit dibantu orang ramai yang kemudian membawa mereka ke Hospital Ampang bagi mendapatkan rawatan.
Sehubungan itu, polis kini sedang menjejaki kumpulan terbabit dan berharap sesiapa mempunyai maklumat dapat menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang daripada mangsa, Safuan Mohd Nor, 19, yang ditemui wartawan Harian Metro di wad kecemasan Hospital Ampang berkata, dia hanya mampu melihat rakannya, Ridzuan diseret kumpulan terbabit ke dalam kereta kerana ketika itu dia langsung tidak berdaya.
“Saya sudah tidak mampu melawan kerana ditikam dan dilibas parang oleh kumpulan itu yang mengamuk secara menggila.
“Sejurus tersedar, saya hanya mengetahui berada di hospital dan mengetahui rakan saya berada dalam keadaan koma,” katanya yang masih dalam keadaan lemah.
Menurutnya, dia bersama rakan sedang minum sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang meminta pertolongan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: