Wednesday, July 14, 2010

Wanita jual barang kosmetik RM19.3j


REBEKAH TESTER


LEICESTERSHIRE - Seorang wanita, Rebekah Testar berusia 42 tahun yang menjual produk kecantikan dari rumah ke rumah dan memulakan pekerjaannya itu sebagai hobi separuh masa untuk memperoleh pendapatan bagi persediaan menyambut Krismas kini telah berjaya menjadi kaya, lapor sebuah akhbar semalam.

Ibu tiga orang anak itu kini menjadi penasihat jualan utama syarikat produk kosmetik tersebut apabila jualan produk kecantikannya mencecah lebih AS$6.03 juta (RM19.3 juta).

Testar kini mempunyai 1,750 wakil penjual di bawah kendaliannya selain memandu sebuah Mercedes dengan plat 4 VON. Lapan tahun lalu, dia sangat bimbang untuk menyara keluarga selepas suaminya, Tony terpaksa berhenti kerja sebagai perunding kewangan kerana berdepan masalah tekanan dan kemurungan.

Selepas bertemu dengan seorang wakil jualan syarikat kosmetik tersebut semasa membawa anak-anaknya ke tadika, Testar bersetuju menyertai syarikat menjual produk kecantikan itu.

Dalam tempoh dua bulan, dia mempunyai 300 orang pelanggan.

Tahun lalu, pasukannya berjaya mencapai jualan lebih AS$3 juta (RM9.6 juta).

"Saya tidak percaya ini berlaku kepada saya. Saya didekati oleh seorang wakil jualan itu pada musim luruh 2002 dan bersetuju untuk mengambil brosur dan mengadakan perjumpaan dengannya.

"Saya fikir ia boleh mengurangkan sedikit kebimbangan dan memberi wang tambahan untuk perayaan Krismas. Tidak pernah terfikir selepas lapan tahun itu, saya menjadi salah seorang penjual tertinggi dalam syarikat," katanya.

Sebelum ini, Testar bekerja di sebuah bangunan masyarakat sebelum menjadi ibu sepenuh masa. Dia kini mempunyai 70 orang pengurus jualan yang menguruskan pasukan wakil jualannya.

"Pada mulanya, sasaran saya adalah untuk mendapatkan 500 orang pelanggan. Kami menjual di seluruh kampung dan memperoleh semakin ramai pelanggan.

"Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk bekerja keras. Pergi dari rumah ke rumah dan menghantar sendiri 200 brosur setiap hari," jelasnya lagi.

Hanya selepas beberapa bulan, Testar menjadi ketua jualan. Setelah melihat pelan bayaran komisen, dia tahu bahawa ia adalah peluang untuk menjana pendapatan.

"Ia bukan mudah. Namun, saya boleh katakan bahawa saya sangat sukakan kerja ini. Waktu kerja yang fleksibel membolehkan saya sentiasa bersama keluarga. Saya kini boleh mendapat lebih banyak wang dalam satu minggu berbanding sewaktu bekerja sepenuh masa dahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: