Monday, July 26, 2010

Tuntutan lafaz cerai ditolak


NIK RORHANA


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam menolak permohonan plaintif, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, meminda tuntutan lafaz cerai Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra terhadap isteri baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, 31.

Hakim Syarie, Abdullah Man ketika membaca keputusan tersebut memberi alasan tuntutan berkenaan ditolak kerana prosiding pengesahan lafaz cerai pasangan itu telah berjalan.

Pada prosiding tertutup itu, Abdullah pada masa yang sama mengarahkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Tuanku Ismail terhadap Elia Suhana disambung semula.

Peguam Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hasan ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihak plaintif ingin menambah beberapa fakta mengenai lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Kelantan pada 12 Februari lalu.

Bagaimanapun, menurut beliau, Abdullah menolak permohonan tersebut sebaliknya meneruskan perbicaraan lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Ismail yang didakwa berlaku di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.

"Hakim menolaknya (meminda tuntutan lafaz cerai Tuanku Ismail) dan hanya ingin membicarakan lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan pada 12 Februari lalu dan lafaz pada tarikh tersebut telah difailkan oleh plaintif," kata beliau ketika ditemui di luar mahkamah di sini semalam.

Elia Suhana hadir pada prosiding tersebut manakala Nik Rorhana juga hadir ke mahkamah yang diiringi peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar.

Fakhrul Azman memberitahu, Abdullah menetapkan pada 8 Ogos ini untuk meneruskan perbicaraan tersebut.

Tambahnya, perbicaraan itu juga akan dijalankan secara tertutup seperti yang diarahkan oleh mahkamah itu sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: