
MELAKA - Denda maksimum sebanyak RM30 juta bakal dikenakan ke atas sebuah disko di Melaka Raya di sini yang beroperasi selama dua tahun ini dengan menggunakan lagu-lagu yang disalin secara cetak rompak.
Selain melanggar hak cipta salinan lagu secara cetak rompak, disko tersebut didapati beroperasi lebih masa dan tiada lesen dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pukul 8.30 malam kelmarin.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Abd. Hafidz A. Rahim, berkata, serbuan yang dilakukan berikutan aduan pemilik salinan langganan, Recording Industry Malaysia (RIM).
''Hasil siasatan yang dilakukan ke atas premis tersebut, kami dapati disko itu memiliki sebanyak 150 cakera padat (CD) pelbagai lagu yang telah diciplak untuk menghiburkan pengunjung,'' katanya ketika ditemui semalam.
Tambah Abd. Hafiz, setiap kepingan CD mengandungi lapan hingga 10 buah lagu yang disalin tanpa izin RIM dan setiap salinan lagu boleh dikenakan denda minimum RM2,000.
Ujar beliau, pemilik premis tersebut bakal dikenakan denda minimum sebanyak RM3 juta dan maksimum sebanyak RM30 juta kerana telah menyalin hampir 1,500 salinan langganan lagu dengan tujuan perniagaan.
''Pemilik premis itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda minimum RM2,000 atau maksimum RM20,00 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,'' katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: