
KOTA BHARU - Tiga sahabat, seorang berusia 23 dan dua berusia 24 tahun terpaksa meringkuk dalam penjara selama 42 bulan atau tiga tahun setengah dengan empat sebatan selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman tersebut atas kesalahan memiliki dadah pada 22 Jun 2008.
Seorang lagi rakan kepada tiga tertuduh itu ditangguh hukuman ke satu tarikh lain disebabkan tertuduh merupakan pesalah juvana semasa kejadian.
Hakim Azman Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd. Aiman Che Noh, 23, Mohd. Razman Abdul Rahim, 24, dan Mohd. Hamidi Hassan, 24, selepas ketiga-tiga tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan yang dihadapi.
Ketiga-tiga tertuduh termasuk seorang lagi rakan mereka yang merupakan seorang pesalah juvana sebelum ini dituduh atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
Namun, keempat-empat mereka terlepas dari hukuman tersebut apabila pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tuduhan mengedar dadah dan bersetuju meminda pertuduhan kepada tuduhan memiliki dadah.
Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi, keempat-empat tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 8.96 gram ketika ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di tempat letak kereta surau Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, dekat sini pukul 4.45 petang.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun dan dikenakan tidak kurang dari tiga sebatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: