TIGA finalis Mentor musim keempat iaitu Nani, Mohd. dan Adi bakal berentap Ahad ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan setiap daripada mereka akan menyanyikan tiga buah lagu.
Mereka akan menyampaikan tiga buah lagu secara berselang-seli, sebuah lagu, persembahan solo dengan lagu pilihan masing-masing dan berduet bersama artis pilihan.
Nani akan menyampaikan sebuah lagu baru ciptaan mentornya, Azmeer berjudul Terhenti Di Tanda Koma, selain menyampaikan medley Suci Dalam Debu dan Livin’ Da Vida Loca.
Gadis lincah dari Sarawak ini akan mengakhiri percaturannya di pentas Mentor dengan persembahan duet bersama lagenda Rock, Ramli Sarip membawakan medley lagu Istilah Bercinta dan Jikalau Berkasih.
Sementara, Mohd. iaitu protege penyanyi Ziana Zain tampil dengan lagu baru ciptaan Aswandy dan Sham Kamikaze berjudul Cinta, menyampaikan lagu pilihan Tragedi Oktober dan Itu Kamu, selain berduet dengan Juara Mentor Musim Ke-2, Fiq menggegarkan dewan itu dengan lagu 3 Malam Tanpa Bintang dan Bujang Senang.
Protege penyanyi Dayang Nurfaizah, Adi pula akan menyampaikan sebuah lagu ciptaan Omar K berjudul Tafsirkan Cinta, selain dua lagu pilihan Kenangan Terindah dan Suatu Janji. Dia akan berduet bersama Aizat menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu.
Selepas Pija, Fiq dan Black diumumkan sebagai juara Mentor pada musim sebelum ini, pastinya persoalan utama menunggukan siapa pula kali ini yang bakal menjejaki langkah mereka? Malam Ahad ini merupakan malam penentuan adakah usaha gigih mereka selama hampir empat bulan akan membuahkan hasil.
Mungkin agak tidak keterlaluan jika menyifatkan Mentor 4 adalah yang paling sengit sejak program ini diterbitkan bermula tahun 2005.
Malah, Pengarah Muzik tanahair terkenal, Ramli MS juga turut sama merasai bahang pertandingan selain bersetuju pusingan peringkat akhir Mentor 4 itu adalah paling hebat berbanding sebelumnya.
Katanya: ”Ketiga-tiga finalis cukup bertenaga dan mampu menyampaikan lagu dengan baik. Melalui vokal mereka, tidak banyak beza tetapi Mohd. mempunyai kelebihan dengan vokal yang lebih lantang.”
Format pemarkahan pada Mentor akhir dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus dari juri profesional dan 30 peratus melalui undian khidmat pesanan tingkas (SMS).
Bagaimanapun 20 peratus lagi adalah pilihan juri awam yang terdiri daripada penerbit program hiburan, pelajar-pelajar muzik, wartawan dan golongan semi-profesional dalam bidang muzik.
Penerbit eksekutif dan pengarah Mentor 4, Mohd Sufian Isa berkata: “Protege yang layak menjejakkan kaki ke peringkat akhir ini merupakan yang terbaik hasil kerja keras mereka sendiri dan mentor masing-masing.
”Persedian yang mereka lalukan hanya dalam masa seminggu sahaja dan mereka telah memanfaatkan tempoh itu sepenuhnya.
"Apatah lagi pada tahun ini mereka akan memperkenalkan lagu ciptaan terbaru yang dijangka bakal menambat hati ramai.
”Berita baik untuk penonton setia Mentor, program ini tidak berakhir sehingga malam Ahad ini sahaja sebaliknya penonton masih boleh menonton episod terakhir pada 11 Julai, pukul 9 malam yang memaparkan kisah suka dan duka kesemua protege sepanjang perjalanan Mentor 4 selama satu jam.”
Johan bagi pertandigan itu akan membolehkan pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 dan trofi manakala naib johan memenangi wang tunai, RM30,000 dan trofi. Tempat ketiga juga tidak akan pulang dengan tangan kosong dan akan menerima RM10,000.
Kesemua hadiah wang tunai dikongsi bersama mentor dan protoge masing-masing.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: