SETELAH hampir dua tahun menguruskan diri tanpa bantuan pengurus peribadi, penyanyi Ning Baizura mengaku dia lebih yakin menggalas tugas itu.
Kata Ning, pengalaman yang ditimba dengan pengurus-pengurus sebelum ini banyak memberinya peluang untuk berdikari selain mempelajari selok belok dunia seni dengan lebih baik.
Bermula daripada ibunya, Stella Abdullah, sehinggalah kepada pengurus asing, Mendiang Mike Bernie (pengurus Allahyarham Sudirman) dan Vernon Kedit- Jolly.
Sepanjang 17 tahun menimba pengalaman dengan mereka yang boleh dianggap sebagai ‘sifu’, Ning akui banyak perkara yang dipelajarinya tentang selok-belok bergelar anak seni ini.
“Alhamdulillah, apabila usia sudah menjangkau 35 tahun dan sudah berumah tangga, saya akui lebih yakin untuk berdikari sebagai seorang usahawan yang berjaya.
“Dalam masa yang sama, saya juga belajar bangkit semula dan menjadi penghibur yang berjaya. Insya-Allah kalau ada rezeki banyak lagi ilmu yang saya ingin belajar dan bekalkan dalam diri,” katanya kepada mStar Online.
Penyanyi bersuara lantang dan soprano itu sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan yang dilakukan oleh bekas-bekas pengurusnya itu. Tanpa mereka, dia tidak mungkin mampu mencapai tahap seperti sekarang ini.
“Mereka semua telah memberi saya banyak pengajaran mengenai dunia hiburan selama ini. Saya amat terhutang budi buat mereka semua,” luah Ning sepenuh hati.
Berbekalkan usaha untuk terus kekal dalam industri seni tempatan, penyanyi yang sedang popular menerusi lagu Mama Papa itu menubuhkan syarikatnya iaitu Happenings (M) Sdn Bhd.
“Syarikat saya menguruskan kerjaya saya, acara dan pelbagai perkhidmatan untuk persembahan. Saya juga telah membuka sebuah restoran dan dewan muzik diberi nama Dewan Muzik Selebriti sejak April tahun ini di SoHo KL Solaris Mont Kiara.
“Restoran dan dewan muzik ini bertujuan untuk mengetengahkan artis kita dan artis antarabangsa. Kami mempunyai sistem penataan, visual dan bunyi yang terbaik di Malaysia,” tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Ning juga telah merakamkan album ke-11 yang akan diedarkan selepas Hari Raya tahun ini.
Pelakon filem Diva dan Muallaf itu juga akan muncul dengan filem terbarunya berjudul Cun di pawagam pada tahun ini.
Selain itu, dia juga sedang menjayakan teater muzikal Shout! The Mod Musical yang akan dipentaskan di KL Pac, Sentul Park pada 15 hingga 21 Julai ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: