MEMANG selama ini mereka tidak pernah membuat sebarang pengakuan secara rasmi. Tidak ada sebarang komen atau penjelasan apabila salah seorang daripada mereka ditanya mengenai status hubungan mesra itu.
Aizat Amdan dan Liyana Jasmay lebih selesa mengunci mulut. Tindakan itu membuatkan ramai orang meneka dan tidak kurang yang berpendapat mereka sebenarnya sedang bercinta. Rapat, Aizat dan Liyana juga sering dilihat bersama tidak kira pada acara hiburan skala kecil atau besar.
Jadi, walaupun tiada pengakuan, mereka secara tidak rasmi sudah dilabelkan sebagai pasangan kekasih. Sama padan dari ukuran usia, karier dan status keluarga, mereka dilihat amat serasi.
Namun, sebelum mereka sempat mengumumkan atau mengesahkan status mereka, ada khabar angin yang menyatakan mereka sudah berpisah.
Jika mereka tidak pernah bersama, bagaimana pula khabar angin itu boleh timbul? Mengapa pula ada pihak yang menimbulkan isu perpisahan mereka? Aizat yang ditemui semasa menjalankan penggambaran klip video lagu Erti Hari Ini di studio ntv7, Glenmarie membuka cerita.
"Orang ramai sudah salah anggap mengenai hubungan kami. Seperti yang diketahui ramai, kami tidak pernah mengumumkan secara rasmi mengenai status hubungan kami menerusi mana-mana medium media.
"Jadi semua berita mengenai percintaan dan perpisahan ini adalah satu salah faham. Jauh sekali jika ada orang mengaitkan Pasha Ungu sebagai pihak ketiga," jelas Aizat.
Aizat sedar ramai orang yang menganggap mereka merupakan pasangan kekasih kerana keakraban mereka sering menjadi laporan media. "Rasanya saya dan Liyana mula rapat semasa saya terlibat dalam pembikinan albumnya.
"Selepas itu, kami sering lepak bersama dan menjadi kawan baik. Dari situ juga orang melihat kami rapat dan salah faham. Sekarang kami masih berhubung seperti biasa dan tidak ada timbul sebarang masalah seperti yang dikatakan orang."
Jelas Aizat lagi, dia sendiri tidak tahu bagaimana berita perpisahan itu boleh timbul. Dia dan Liyana juga tidak memandang berita itu satu masalah kerana hanya mengambilnya sebagai salah satu lagi gosip.
Malah Aizat berasa pelik mengapa khabar angin itu turut melibatkan ahli keluarga mereka. "Ramai orang buat cerita selepas melihat kami rapat. Seperti status yang ditulis dalam laman sosial Facebook, ada kalanya kita mahu menyampaikan mesej berlainan.
"Tapi ia memberikan mesej berlainan kepada orang berbeza. Jadi apabila ada berita mengenai kemesraan kami ditulis, ramai orang mula mempunyai tanggapan tersendiri. Keluarga kami berdua juga tidak mempunyai sebarang masalah."
Berasa gembira dengan hidupnya sekarang apabila mendapat sokongan padu daripada keluarga dan rakan-rakannya, ayah Aizat sebelum ini ada menyatakan bahawa dia tidak boleh berkahwin sehingga usianya mencecah 30 tahun.
|
|
Tahu ayahnya menyalurkan maksud tersirat, Aizat mengaku dirinya ada mencari teman wanita. Cuma agenda itu bukan keutamaan dia sekarang. "Memang saya ada mencari teman wanita tetapi tidaklah terlalu terdesak.
"Seperti apa yang dikatakan oleh ayah, dia mahu saya berkahwin hanya pada usia 30 tahun. saya faham ayah bukannya bermaksud dari segi nombor. Dia mahu saya stabil dari segi mental serta kewangan dahulu. Namun, soal jodoh itu sukar untuk diramal," tambahnya lagi.
Album baru
Bakal melancarkan album terbarunya, Urusan Aizat Amdan pada 7 Julai ini, Aizat memberitahu, album itu lebih matang. Menyampaikan mesej dan lebih serius, album yang mengandungi tujuh buah lagu itu merupakan produksi 100 peratus Aizat.
Cuba untuk menerbitkan album untuk penyanyi lain dalam masa dua tahun ini, Aizat juga berharap dia dapat mempromosikan album terbarunya itu di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura.
"Sasaran pertama adalah mengadakan promosi jelajah selepas sambutan hari raya nanti. Selain daripada itu, saya berharap album ini dapat menembusi pasaran Indonesia. Ditambah dengan dua lagu Inggeris, diharap ia dapat pergi lebih jauh dari negara serantau," kata Aizat.
Masih mempunyai niat untuk menyambung pelajaran, lagu Erti Hari Ini yang turut dimuatkan dalam album keduanya telah dipilih sebagai lagu untuk kempen Bebaskan Bumi Palestin. Mahu menyumbang tenaga dalam memaparkan kekejaman rejim Zionis, Aizat menyalurkan menerusi lagunya.
"Sama seperti manusia lain, saya amat prihatin dengan hidup rakyat Palestin. Kita sebagai manusia perlu bersatu untuk membantu mereka. Saya bukannya ahli politik atau penceramah tetapi saya menyalurkan mesej menerusi muzik. Semua orang ada cara tersendiri untuk menunjukkan keprihatinan mereka," jelas Aizat.
Disebabkan lagu itu disasarkan untuk kempen kesedaran itu, maka klip videonya dibikin bagi memaparkan mesej yang sama. Dalam mendapat konsep itu, Aizat telah mendapatkan khidmat pengarah, Douglas Khoo.
"Saya akan berganding dengan abang saya, Anas. Selepas berbincang dengan Douglas, klip ini akan dirakamkan dalam studio dengan skrin hijau. Kami sukakan idea Douglas yang sesuai dengan penyampaian mesej lagu ini," tambah Aizat.
Bagi Douglas, dia menerima tugas itu kerana berpendapat lagu Aizat amat berbeza dan dapat menyentuh emosinya. Selain daripada itu, pembikinan klip itu juga bertujuan untuk kerja amal dan Douglas sendiri prihatin terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.
"Lagu Aizat telah menyentuh perasaan saya. Itu yang membuatkan saya bersetuju untuk terlibat dalam pembikinan videonya. Saya bukannya berharap video ini akan menggubah apa-apa tetapi boleh menyokong kempen ini. Diharap hasil kerja saya dapat menyalurkan mesej ini setepatnya," ujar Douglas.
Pernah mengarah klip video untuk Faizal Tahir, Shila OIAM, dan Ayu OIAM, menariknya Douglas akan menggunakan visual asal serangan yang berlaku di Palestin. "Saya telah mendapat visual asal serangan di Palestin. Seorang pelajar filem telah menghasilkan video mengenai serangan di kampung halamannya.
"Apabila kami menyatakan hasrat untuk menggunakan visualnya, dia terus bersetuju kerana ia untuk tujuan baik. Dia mahu kami memberitahu dunia apa yang berlaku di negaranya. Jadi anda akan menyaksikan klip ini dengan lebih realiti," jelas Douglas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: