Saturday, July 3, 2010

Sindiket ‘goyang kaki’ kebas tebusan hingga RM500,000

KUALA LUMPUR: Dengan hanya satu panggilan telefon, satu sindiket penculikan ‘goyang kaki’ dikesan mampu mendapat wang tebusan antara RM50,000 hingga RM500,000 tanpa melakukan sebarang penculikan.

Kumpulan penculik alaf baru itu dikesan menggunakan taktik yang mudah dengan hanya membuat panggilan kepada ahli keluarga mangsa mendakwa anaknya sudah diculik sebelum mengarahkannya memasukkan wang tebusan ke dalam akaun tertentu.


Difahamkan, kumpulan profesional itu mensasarkan keluarga pelajar Malaysia di luar negara selain pelajar luar yang menuntut di negara ini.


Menjadi persoalan, setiap kali keluarga mangsa cuba menghubungi anak mereka, panggilan seolah-olah tiada dalam perkhidmatan tetapi selepas wang tebusan dibayar, talian berkenaan boleh dihubungi seperti biasa.


Tidak cukup dengan itu, kumpulan dikatakan sudah bergerak lebih setahun lalu turut dipercayai memiliki ‘akses’ untuk mengenal pasti latar belakang dan pergerakan mangsa walaupun berada di luar negara.


Difahamkan, puluhan kes seumpama itu dilaporkan di seluruh negara dan tiga kes terbaru diterima awal bulan lalu Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields sebelum dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan dan siasatan lanjut.


Menurut sumber, disebabkan kumpulan terbabit memiliki maklumat latar belakang keluarga termasuk soal kewangan, mereka akan meminta wang tebusan mampu disediakan keluarga itu.


“Malah, mereka mensasarkan golongan usahawan dan ahli korporat yang memiliki wang. Ini bagi memastikan keluarga mangsa tidak akan teragak-agak untuk membayar wang berkenaan tanpa membabitkan polis.


“Selalunya, wang tebusan diminta sekitar RM50,000 hingga RM500,000,” katanya.


Dalam kejadian terbaru pertengahan Jun lalu, satu keluarga yang menetap di Brickfields, di sini, menjadi mangsa kepada kelicikan sindiket berkenaan.


Sumber berkata, mereka membayar RM100,000 menerusi satu akaun bank selepas menerima panggilan mengatakan anak perempuannya berusia lewat 20-an yang menuntut di United Kingdom diculik.“Bayaran itu dibuat selepas keluarga mangsa gagal menghubungi anaknya dan beberapa rakan lain,” katanya.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu keluarga terbabit menjadi mangsa penipuan kumpulan itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: