Saturday, July 3, 2010

Penganggur tipu RM5j

KUALA LUMPUR: Dengan lagak seperti ahli korporat, seorang penganggur dipercayai memperdaya lebih 40 syarikat dan individu membabitkan wang hampir RM5 juta dengan menawarkan mangsa menjadi sub kontraktor bagi pembinaan landasan kereta api berkembar Seremban-Gemas, Negeri Sembilan.

Lelaki berusia 50-an itu dikatakan giat memperdayakan syarikat atau kontraktor dengan mendakwa dia dilantik sebagai wakil sebuah syarikat pembinaan berpusat di India.


Menggunakan modus operandi mudah iaitu mendekati syarikat atau kontraktor tertentu dan mengemukakan tawaran sebagai sub kontraktor dengan menunjukkan semua dokumen berkaitan termasuk dokumen sulit antara kerajaan Malaysia dan India berhubung pembinaan landasan berkembar itu sebagai bukti dia wakil sah syarikat pembinaan berkenaan.


Bagi meyakinkan mangsa, suspek menunjukkan reka bentuk, spesifikasi, rekaan grafik dan harga tawaran barang mentah pembinaan projek landasan berkembar itu yang disimpan di komputer ribanya.


Mangsa yang bersetuju perlu membayar sejumlah wang bagi tujuan melobi mendapatkan kontrak namun menyedari mereka diperdaya apabila suspek lesap.


Kegiatan itu didedahkan Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George yang menyiasat perkara itu selepas dua syarikat yang melantiknya sebagai penasihat undang-undang turut menjadi mangsa.


Beliau berkata, suspek bergiat aktif sejak 2004 dengan mengaku mempunyai hubungan dengan kuasa politik di India termasuk seorang Menteri. “Dia hanya menggunakan syarikat RM2 miliknya sebagai platform untuk menipu malah boleh memaksa secara halus, mangsa untuk menyediakan jam tangan, pen, barangan kemas dan pakaian berjenama mewah kepadanya kononnya sebagai hadiah kepada pihak di India bagi melobi mereka sebagai sub kontraktor.


“Berdasarkan maklumat diterima, saya ke India beberapa kali pada 2009 dan tahun ini untuk bertemu dengan semua pihak yang nama mereka disebut setiap kali dia menjalankan perniagaannya. Saya menunjukkan semua dokumen, pemacu storan (thumb drive) dan maklumat sulit lain yang diperolehnya tetapi mereka menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mengenai lelaki itu.


“Syarikat pembinaan di India juga menafikan surat yang dikeluarkan mereka kepada lelaki itu secara lisan tetapi permintaan saya supaya mereka membuat penafian dalam bentuk hitam putih sehingga kini tidak dijawab,” katanya ketika ditemui Harian Metro.


Sehubungan itu, Dr Jacob menasihatkan mereka yang menjadi mangsa taktik licik suspek supaya membuat laporan polis dan menghubungi Cassa di hotline 016-3261700 bagi mendapatkan bantuan undang-undang serta pertolongan lain.


“Dalam pada itu, Cassa juga meminta kerajaan India dan Kementerian Pengangkutan menyiasat bagaimana lelaki itu memperolehi surat sulit mengenai landasan berkembar Seremban-Gemas antara kerajaan Malaysia dan India.“Bagaimana lelaki itu boleh menyimpan di dalam komputer ribanya reka bentuk, spesifikasi, lukisan dan harga tawaran barang mentah pembinaan projek itu. Siapa yang memberikan dia dua surat mendakwa daripada Lembaga Kementerian Pengangkutan Kereta Api India,” katanya.


Beliau berkata, suspek tidak mungkin mampu bertindak sendirian dalam mengatur penipuan itu tanpa bantuan individu tertentu di Delhi dan Chennai.


“Saya mungkin akan bertemu Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan untuk memaklumkan mereka mengenai kegiatan tidak sihat ini,” kata Dr Jacob.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: