Monday, July 5, 2010

Seni pasir

Mail  menyiapkan tempahan pelanggan di gerainya.
Mail menyiapkan tempahan pelanggan di gerainya.
Usaha Ismail Ali hasilkan cendera hati Arab mampu beri pendapatan lumayan

SETIAP mata memandang pasti akan berhenti untuk melihat secara dekat serta meneliti cara pembuatan yang unik sehingga menghasilkan satu seni karya yang jarang ditemui di Malaysia.Seni pasir Jordan adalah antara cendera hati terbaru dalam negara yang menampilkan pasir berwarna-warni disusun dengan rekaan menarik dalam botol pelbagai saiz dan motif seni. Ismail Ali Ahmad, 27, atau lebih mesra disapa sebagai Mail, sememangnya berkemahiran menyusun seni pasir Jordan dan sehingga kini sudah lapan tahun berkecimpung dalam proses pembuatan cendera mata itu.

Berkat kesungguhan itu, hasil tangannya itu ada yang mencecah sehingga RM5,000.

“Seni ini berasal dari Jordan dan ia dibawa masuk ke Malaysia oleh warga negara itu sendiri. Saya sendiri jatuh cinta dengan seni ini apabila menyaksikan peniaga dari Jordan yang bertapak di Malaysia menjalankan perniagaan cendera mata unik itu.

“Apabila melihat keindahan serta keunikan susunan pasir terbabit, hati saya terdetik, ini adalah satu peluang baik untuk mempelajari seni ini secara mendalam dan memanfaatkannya untuk mencari rezeki.
“Saya mendekati penjual seni pasir ini, meneliti teknik yang dilakukan untuk menghasilkan satu karya berkenaan. Hanya dengan sekali pengalaman melihat cara pembuatannya, saya balik dan terus memulakan percubaan demi percubaan sehingga saya berjaya menghasilkan rekaan yang terbaik," katanya ketika ditemui di Uptown Klang, baru-baru ini.

Berasal dari Sekinchan, Selangor, Mail berkata, ada pelbagai teknik yang perlu dikuasai seorang penyusun seni pasir Jordan ini.

Malah, katanya, selain mempunyai daya kreativiti yang tinggi, beliau juga perlu menguasai teknik menulis secara terbalik dan melukis dengan baik.

“Perkara paling utama ialah minat dan kemahiran yang tinggi untuk menghasilkan satu seni yang memukau serta bernilai tinggi. Karya saya bernilai serendah RM25 sehingga mencecah RM5,000,” katanya.

Menurut Ismail, cendera hati ini banyak dijual di Dubai dan Mesir.

“Di Asia Barat, kita boleh mendapatkan banyak karya cendera hati menarik kerana pembuatnya mengikuti kursus khas dalam menghasilkan seni kraf bermutu tinggi.

“Rakyat Malaysia yang pernah melancong ke Asia Barat pasti tidak terkejut dengan seni ini, tetapi di sini ia adalah fenomena terbaru,” katanya ketika menyiapkan beberapa tempahan pelanggan di gerainya.

Bukan setakat bertapak di Selangor, Ismail turut merantau hampir ke seluruh negara bagi mempromosikan seni pasir ini.

Sebelum ini, enam tahun perniagaannya difokuskan kepada pasaran di sekitar Kuala Lumpur dan sekarang, beliau mula mencari pasaran baru di Perak dan Kuantan.

“Tahun ini, saya bercadang untuk memberi tumpuan kepada pasaran di Selangor dan mempergiatkan perniagaan bersama rakan kongsi saya yang juga seorang kartunis karikatur.

“Setakat ini produk saya menerima tempahan daripada pelbagai organisasi swasta serta kerajaan yang ingin menempah reka bentuk khas bagi cendera hati majlis tertentu yang dianjurkan mereka,” katanya.

Beliau berkata, tempahan terhadap produk seni pasir selalunya meningkat terutama menjelang sambutan hari istimewa seperti Hari Guru kerana ia ideal serta menarik untuk dihadiahkan sebagai tanda kenangan.

“Tidak dinafikan seni ini boleh dipelajari sesiapa saja yang berminat, malah saya ada mengembangkan kemahiran ini kepada dua rakan yang mempunyai minat tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: