![]() |
| SHARIFAH SHAHIRAH (kiri) bersama suami, Zulkifli Azhari atau Ijoy. |
PROGRAM bersiri hiburan terbaru berjudul, Fesyenista Manja Baby Kiko kini muncul dengan menggunakan konsep hiburan realiti yang dikatakan oleh stesen penerbitannya iaitu Astro sebagai yang pertama kali seumpama itu pernah muncul di kaca televisyen, khususnya di Malaysia.
Program yang akan dikendalikan oleh personaliti terkenal tanah air, Syarifah Shahirah itu menampilkan 10 episod istimewa yang akan mengetengahkan cabaran kepada lapan selebriti terkemuka bersama anak-anak masing-masing yang berusia dua hingga empat tahun.
Antara selebriti yang terlibat untuk program bermula pukul 6.30 petang, 4 Julai lalu di saluran Astro Ria (Saluran 104) ialah Abby Abadi, Erra Fazira, Khai (AF), Rita Rudaini, Sabrina Ali, Enot, Nadia Mustapha dan Lisdawati.
Setiap selebriti tersebut perlu menyiapkan foto album berdasarkan tema-tema tertentu di samping mereka akan diuji kreativiti dalam memberikan persembahan fotografi terbaik menggunakan pakaian kanak-kanak jenama Baby Kiko.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, pihaknya berasa amat teruja dengan kesungguhan pihak penaja iaitu Baby Kiko yang berminat untuk berkerjasama menjayakan sebuah lagi program yang dapat mendekati golongan selebriti.
"Saya percaya pasti ramai peminat selebriti yang terpilih mahu mengikuti perkembangan semasa selebriti kegemaran bersama anak-anak mereka.
"Penerbitan program seumpama ini dilihat dapat memberi inspirasi serta informasi yang bernas kepada kaum ibu tentang cara-cara yang sesuai untuk menata rias si manja melalui fesyen fesyen terkini," katanya pada sidang media program itu di Peninsular Residence, Damansara, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, lapan episod pertama bakal menampilkan satu pasangan selebriti dan anak kecil manakala episod kesembilan pula akan memaparkan sedutan istimewa yang tidak pernah ditunjukkan dalam episod satu hingga lapan.
"Pemenang keseluruhan akan diumumkan pada kemuncak program iaitu pada episod kesepuluh yang diadili oleh juri undangan yang dipilih seperti Zizan Nin, Nurul Wahab dan Michael Ong.
"Sebanyak RM30,000 tunai akan menjadi milik pasangan selebriti dan anak kecil yang menjuarai cabaran-cabaran yang ditetapkan," tambahnya.
Ketua Kandungan Berjenama dan Jualan Media Astro, Haris Ismail pula menegaskan program tersebut adalah bagi menampilkan kerjasama dengan label produk sebenar.
"Dengan adanya program seumpama ini akan mengeratkan hubungan baik antara pengiklan dan Astro. Program seperti ini juga dapat mempromosikan sesebuah jenama untuk tempoh yang lama," ujarnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: