
DIA berkelulusan dalam bidang perakaunan dan kewangan dari United Kingdom (UK) dan pernah berkhidmat sebagai akauntan bertauliah di sebuah bank terkemuka negara selama lima tahun.
Saban hari tugasannya melibatkan mata wang, perniagaan dan pelaburan yang mencecah nilai berbilion ringgit. Pekerjaan tersebut menuntutnya bekerja hingga lewat malam hingga dia jarang berpeluang untuk berehat apatah lagi bercuti panjang.
Namun, Chermaine Poo sedikit pun tidak menyesal atau berubah hala dengan menceburi pekerjaan lain. Baginya semua bidang pekerjaan adalah sama kerana masing-masing mempunyai cabaran yang perlu dihadapi sebaik mungkin.
"Namun, segala-galanya berubah selepas saya memenangi tempat ketiga dalam pertandingan Ratu Cantik Malaysia/Universe 2005. Sejak itu, bermulalah episod baru dalam hidup saya. Bayangkan setiap bulan saya tak putus-putus menerima tawaran berlakon daripada pelbagai produksi.
"Malangnya, saya terpaksa menolak kerana sibuk dengan tugasan sebagai akauntan. Sebenarnya, saya malu beraksi di depan kamera. Penyertaan dalam pertandingan ratu cantik itu pun atas desakan rakan-rakan.
"Saya tidak terfikir langsung untuk menyertainya," ujar Chermaine yang mengakui dirinya dihantui sedikit rasa kesal kerana melepaskan peluang berlakon yang barangkali diperoleh sekali seumur hidup.
![]() |
| BAKAT Chermaine mula dikembangkan dalam industri lakonan tanah air. |
Puas meminta pandangan keluarga, Chermaine tekad untuk berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Keputusannya itu boleh dibanggakan kerana kini nama Chermaine kian popular menerusi drama Tudung Ekspres yang disiarkan menerusi Astro Prima (saluran 105) pada pukul 9.30 malam.
Meskipun Tudung Ekspres merupakan drama lakonannya yang pertama, ia sedikit pun tidak menjejaskan keyakinan Chermaine untuk memberi komitmen terbaik. Dia yang membawa imej seorang ratu cantik, kini mahu turut cemerlang dalam bidang lakonan, bermula dengan drama.
Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu terlebih dahulu mengutip pengalaman berlakon dalam beberapa buah filem seperti Lust Caution yang berjaya membawa pulang banyak anugerah pada Festival Filem Venice ke-64, Jin Notti, The Funeral Party, Culik, Dukun dan Orange for Mama.
Asas lakonan
Sebelum melebarkan sayap sebagai pelakon, Chermaine yang tidak memiliki asas lakonan tidak malu menimba ilmu daripada pengarah teater terkenal, Joe Hafsham. Portfolio lakonannya diuji secara profesional selepas membintangi teater The Odd Couple arahan Joe Hafsham.
Menjawab soalan mengenai trend ratu cantik menceburi bidang lakonan, Chermaine yang berketinggian 162 sentimeter itu berkata: "Oh, maaf, saya tiada niat langsung untuk meniru ratu cantik China atau India yang selepas menang saja, terus dikenali dalam bidang lakonan.
"Lagipun, penglibatan ratu cantik dalam dunia lakonan bukan perkara baru. Buktinya, di Malaysia kita ada pelakon wanita yang hebat seperti Erra Fazira yang popular sejak dinobatkan sebagai Ratu Cantik Malaysia 1992 dan mewakili negara dalam Pertandingan Ratu Cantik Dunia 1992 di Afrika Selatan."
Bekas pelajar Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya, Selangor itu menyifatkan ratu cantik bergelar pelakon merupakan sesuatu yang positif.
Ia membuka mata orang ramai bahawa kelebihan golongan ini bukan sahaja bersandarkan paras rupa dan bentuk badan, bahkan memiliki bakat tertentu dalam bidang seni.
Hari demi hari, Chermaine berusaha meningkatkan mutu lakonannya dan berharap agar menerima tawaran watak yang berbeza-beza.
Selain berlakon drama dan filem, pemegang diploma tarian balet itu juga aktif membintangi iklan dan menjadi juruacara majlis.
Bukan cakap kosong, kelebihannya bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Jepun dan Perancis membolehkan dia menerima tawaran mengendalikan majlis anjuran kedutaan negara asing tersebut.
![]() |
| BUKAN sekadar jelita, Chermaine juga dilengkapi pakej akademik dan bakat seni. |
Berbicara mengenai keistimewaan pertandingan ratu cantik, hos rancangan MTV Fresh New Day itu memberitahu ia bukan pertandingan yang mengukur aspek kecantikan, bentuk badan mahupun aksi gaya di atas pentas semata-mata. Sebaliknya ia menguji tahap komunikasi dan keperibadian peserta.
Pada masa yang sama, pertandingan ratu cantik itu juga membolehkan peserta mencipta nama dan kerjaya dalam bidang peragaan dan seni. Mereka juga dapat menjadi aktivis dan melakukan kerja-kerja sosial.
Sementara itu, pelakon Bollywood, Aishwarya Rai Bachchan, 37, pernah bercerita kepada media mengenai dirinya yang mula dikenali ramai selepas memenangi Ratu Cantik Dunia pada tahun 1994.
Sebelum itu, dia aktif dalam bidang peragaan. Kini dunia pentas catwalk itu terpaksa dilupakan kerana dia sibuk memenuhi tawaran berlakon di India dan di peringkat antarabangsa.
Kejelitaan menantu kepada pelakon veteran Amitabh Bachchan itu bagaikan aset negara. Ditambah pula dengan kefasihannya berbahasa Inggeris, Aishwarya telah menambat hati produksi Hollywood dengan menawarkan peranan besar dalam filem Pink Panther 2 . Filem genre komedi itu menggandingkannya dengan Steve Martin.
"Kejayaan yang dikecapi pada hari ini hasil daripada kemenangan pertandingan ratu cantik. Paling menggembirakan, saya bukan sahaja dikenali dalam industri filem Bollywood malah kini mula mencipta nama di Hollywood.

"Lagipun sejak menghadiri Festival Filem Cannes, banyak media antarabangsa menasihatkan saya agar sentiasa tabah apabila bekerja bersama produksi filem di Barat," katanya.
Aishwarya kini terus menerima panggilan daripada pelbagai pihak produksi yang menawarkannya peluang berlakon di Amerika Syarikat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: