Wednesday, July 21, 2010

Rozita suka lelaki bujang



Pelakon cantik, Rozita Che Wan mengakui hatinya kini telah ditambat seorang lelaki yang lebih muda daripadanya.

Lebih manis lagi, kakak kepada Ayu Raudhah ini mengakui bersedia untuk menamatkan zaman jandanya jika sudah tertulis dia akan berkahwin lagi sekali.

Malah tanpa berselindung, Rozita mengakui lelaki yang berjaya mencuri hatinya adalah lelaki bujang. Bukannya duda, suami orang mahu pun orang kenamaan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

"Saya suka lelaki bujang. Lelaki duda sama sekali tidak ada dalam kamus hidup saya untuk dijadikan suami. Jangan pula ada sesiapa tersinggung. Saya bukannya apa. Kalau duda takut nanti mereka mudah terasa hati dan saya sendiri takut tak dapat nak seimbangkan perhubungan itu.

"Sebenarnya, saya takut juga mahu berkahwin. Namun, usia dan pengalaman mematangkan kita. Paling penting sekali adalah banyak bersabar. Kita kena tahu, lelaki dan perempuan banyak bezanya,” katanya yang ditemui semasa rakaman program raya di Melaka, baru-baru ini.

Berterus-terang mengenai lelaki yang bertakhta di hatinya itu, Rozita mengakui lelaki tersebut adalah kawan lamanya dan pernah terputus hubungan selepas dia mendirikan rumah tangga dengan suami terdahulu.

“Saya sudah lama mengenali si dia, sebelum saya menyertai industri hiburan lagi. Si dia orang Kuala Lumpur tetapi bekerja di luar negara. Kami pernah bercakap soal perkahwinan tetapi masih belum ada kata putus lagi.

“Dia muda dua tahun daripada saya. Tetapi sikapnya yang matang dan boleh menerima anak-anak saya menyebabkan hubungan kami bertambah rapat,” katanya.

Pengakuan jujur Rozita ini secara tidak langsung dapat melenyapkan tanggapan segelintir pihak bahawa dia gemar memburu lelaki kaya raya yang berstatus duda atau pun suami orang.



Ambil keputusan bersara

Bercakap pula tentang karier lakonannya, Rozita memberi tempoh bahawa tahun ini merupakan tahun terakhir dia akan menjadi pelakon. Malah, dia sudah nekad untuk tidak mahu berlakon lagi pada tahun selanjutnya dan hanya akan berlakon untuk menyambung wataknya dalam mana-mana drama bersiri melibatkannya sebagai pelakon.

"Saya betul-betul sudah nekad tak mahu berlakon lagi. Keputusan ini dibuat berdasarkan satu insiden yang saya alami sebelum ini. Sesungguhnya, saya kecewa apabila perkara yang kecil telah pun diperbesar-besarkan.

"Saya bukannya berhenti sebab nak kahwin. Sebenarnya saya dah penat dengan kontroversi yang melanda diri saya,” akui Rozita tanpa berselindung.

Rozita juga mengakui dia pada mulanya tidak berniat langsung untuk menjadi pelakon. Namun, atas faktor gaji lumayan, pelakon yang sering mengenakan bulu mata palsu ini akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan karier sebagai aktres.

"Saya jadi pelakon bukan sebab nak cari glamor. Saya berlakon sebab gaji lumayan yang saya terima. Pada masa itu, saya pun fikir mana ada kerja dapat pulangan yang lumayan sebegini. Walaupun tak minat berlakon tapi inilah kerja paling lama saya pernah buat. Dah empat tahun saya jadi pelakon. Dulu saya jadi pramugari pun selama dua tahun.

"Selepas bersara saya nak buka perniagaan. Tentang meniaga bulu mata palsu pula, ia sudah pun dalam proses. Saya akan jual bulu mata palsu yang lain daripada lain. Mungkin saya akan ubah sedikit dengan reka bentuk sedia ada. Saya jual bulu mata palsu ni pun sebab permintaan peminat. Anak saya sendiri pernah cakap dengan saya cikgu dia ada minta dan nak beli bulu mata yang saya guna.

"Perniagaan yang saya akan buat pada akan datang pula belum saya ketahui lagi jenisnya. Namun, perniagaan ini tidak ada ditaja mana-mana pihak. Insya-Allah, selepas raya nanti, saya baru akan beritahu jenis perniagaan yang saya akan lalui. Perniagaan itu mestilah perniagaan yang boleh sara hidup saya sekeluarga selepas saya tak jadi pelakon lagi,” akhiri Rozita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: