Thursday, July 8, 2010

Rosyam janji yang terbaik


Rosyam (tengah) bersama Naib Presiden Pemasaran Kumpulan TM iaitu Sherene Azura Ali (kanan) dan Pengarah Siaran RTM, Norliza Mohd. Ali (kiri) pada sidang akhbar Pilih Kasih 2 di Menara Telekom, Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SELEPAS berjaya mencungkil bakat juara sulung Pilih Kasih musim pertama iaitu Iqbal Mazlan kini, sekali lagi program realiti berkonsepkan lakonan itu bakal menemui peminatnya tidak lama lagi.

Membuka peluang kepada mereka-mereka yang berbakat dalam lakonan serta bercita-cita tinggi mengembangkan bakat lakonan, program yang pada musim lalu pernah mencatat rating hampir dua juta penonton itu bakal mengulangi sesi jelajah menjejaki calon-calon pelajar terbaiknya bermula 10 Julai ini.

Antara tempat-tempat yang bakal menjadi destinasi krew Pilih Kasih dalam mencari bakat-bakat dunia lakonan yang lebih segar termasuklah Plaza Alam Sentral, Shah Alam (10 dan 11 Julai); Sunway Carnival, Seberang Perai, Pulau Pinang (17 dan 18 Julai) dan Centre Point, Kota Kinabalu, Sabah (24 dan 25 Julai).

Tidak ketinggalan ialah di Johor Bahru pada 25 dan 26 September, Kota Bharu, Kelantan ( 2 dan 3 Oktober) dan Kuala Lumpur pada 9 dan 10 Oktober ini.

Mensasarkan lebih ramai peserta yang bakal mengikuti sesi uji bakat rancangan itu, apa yang dicari oleh Rosyam yang sekali lagi mempunyai kuasa mutlak 50 peratus daripada jumlah markah keseluruhan ialah kesungguhan mereka mempelajari segala ilmu yang disampaikan di samping punyai pakej dari segi bakat dan keterampilan.

"Ramai yang saya temui tertanya-tanya sama ada Pilih Kasih akan diadakan lagi untuk musim terbaru atau tidak.

"Daripada pengalaman membawakan Pilih Kasih untuk musim pertama, ternyata ia menjadi buah mulut walaupun pada ketika disiarkan, Pilih Kasih terpaksa bersaing dengan sebuah lagi rancangan mencari bakat lakonan di sebuah televisyen swasta.

"Apa yang saya harapkan Pilih Kasih pada masa akan datang tidak akan terkubur begitu sahaja," kata Rosyam mengulas tentang Pilih Kasih musim kedua.

Hampir setahun berlalu, pasti ramai yang masih mengingati bakat-bakat lakonan yang dicungkil daripada program tersebut.

Selain Iqbal Mazlan, pasti ramai yang masih mengingati nama-nama seperti Reza Hasbi, Indera Hafiz, Nabilla Dally dan Wanina Zaki yang berjaya menempatkan diri sebagai lima finalis pada musim lalu.

Pasti ramai juga yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya mereka setelah hampir setahun rancangan Pilih Kasih menamatkan siarannya.

Apa yang pasti, kebanyakan daripada mereka tidak suram daripada pelbagai tawaran lakonan sementelah segelintir daripada mereka masih menuntut bagi mendalami lagi ilmu lakonan yang dipelajari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: