Saturday, July 10, 2010

Rayuan dan usaha mencari Nisha


AZLAN (kiri) bersama Lam Thye dan ibu bapa Nisha mengharapkan kepulangan anak kecil yang hilang itu.


BANK RHB dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) menjalinkan usaha sama menjejaki kanak-kanak yang hilang lebih sebulan lalu, Nisha Chandramohan, 2.

Kerjasama itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial RHB yang mahu kanak-kanak yang hilang sejak 4 Jun lalu di Mentakab, Pahang ditemui semula secepat mungkin.

"Kami mengedarkan kira-kira 2,500 poster atau risalah di seluruh cawangan RHB di Malaysia dan berharap semoga kanak-kanak itu ditemui segera.

"Kami bukan sekadar bersimpati terhadap ibu bapa Nisha yang kehilangan anak mereka, tetapi juga kerana simpati terhadap tahap kesihatannya yang menghidap sawan," kata Pengerusi RHB, Tan Sri Azlan Zainol.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi YPJM, Tan Sri Datuk Lee Lam Thye yang dalam masa yang sama menyeru orang ramai agar prihatin dan terlibat sama dalam usaha mencari Nisha.

Nisha, sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan taman permainan berhampiran rumahnya semasa ditemani oleh ibu saudaranya yang mempunyai penyakit mental.

Kanak-kanak malang itu juga difahamkan menghidap penyakit sawan dan perlu mengambil ubat selain mempunyai masalah otot tangan dan kaki kanan yang lemah dan kurang bermaya.

Ibu bapa kanak-kanak, G. Chandramohan, 24, dan Wong Lai Lan, 21, juga merayu supaya anak mereka dikembalikan. Program pencarian itu merupakan kes kelima yang dikendalikan RHB dan pertama kali dengan kerjasama YPJM.

Di samping mengedarkan risalah dan menjejak Nisha, RHB juga turut memaparkan poster kehilangan kanak-kanak itu di mesin-mesin pengeluaran wang automatik dan laman web bank tersebut.

Lam Thye juga memberitahu, pihaknya akan mengembangkan lagi pencarian, bukan sahaja melibatkan Nisha tetapi kanak-kanak lain di masa hadapan.

"Kami bercadang untuk menandatangani satu memorandum persefahaman supaya menumpukan kepada jenayah melibatkan kehilangan kanak-kanak.

"RHB mempunyai fokus khas terhadap keselamatan kanak-kanak. Ia akan dilakukan sekitar Julai atau Ogos dan sementara itu, buat masa kini, perhatian akan diberikan kepada kes Nisha," katanya yang turut mendesak ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan dan menjaga keselamatan anak mereka.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Nisha diminta menghubungi balai polis atau cawangan RHB terdekat ataupun menelefon terus bapa kanak-kanak itu di talian 016-935 3400.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: