Wednesday, July 14, 2010

Ratusan ribu rai skuad La Rojas

MADRID: Kepulangan pemain skuad Sepanyol disambut bagai wira di Madrid dan ratusan ribu peminat berhimpun di jalan raya sekitar bandar untuk menyambut ketibaan mereka yang diarak dengan sebuah bas tidak berbumbung.

MERIAH...skuad Sepanyol bergembira di atas pentas di Madrid,  semalam (gambar bawah).
MERIAH...skuad Sepanyol bergembira di atas pentas di Madrid, semalam (gambar bawah).
Di tengah cuaca agak panas, peminat melaungkan “Campeones! Campeones! Campeones!” dan mengibar bendera Sepanyol ketika bas melalui jalan sejauh lapan kilometer di tengah-tengah bandar Madrid.


Ada melambai dari balkoni rumah dan ada juga memanjat pokok semata-mata mahu melihat dari dekat wajah 23 wira yang melakar sejarah membawa pulang Piala Dunia kali pertama selepas menundukkan Belanda 1-0.


“Kami menganggarkan ratusan ribu penyokong memenuhi jalan raya di pusat bandar,” kata jurucakap pejabat datuk bandar kepada AFP manakala stesen televisyen TVE pula menganggarkan lebih sejuta peminat hadir untuk menyaksikan sambutan itu.


Penjaga gol Real Madrid, Iker Casillas mengibarkan bendera Sepanyol ketika bas melintasi kawasan riadah Cibeles manakala pemain tengah Barcelona, Xavi mengacah untuk melemparkan Piala Dunia ke arah penyokong yang menunggu.


Beberapa jet pejuang pula terbang rendah sambil mengeluarkan asap merah melambangkan warna bendera negara itu.


Perarakan itu berakhir di kawasan lapang berhampiran Puente del Rey dan majlis sambutan berlanjutan hingga tengah malam.


“Saya ucapkan tahniah kepada 23 pemain yang mencipta kejayaan ini. Semua rakyat berdiri teguh di belakang mereka,” kata Perdana Menteri, Jose Luis Rodriguez Zapatero.

1 comment:

  1. holland a.k.a netherlands kecundang 3 kali. dulu tahun 74 dengan 78 kalah final. sekarang kalah lagi final tahun 2010.

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: