Thursday, July 15, 2010

Projek Hiburan Diraja


FARHAN (kanan) dan Alyah menjadi penyeri Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah.


SEJAK penubuhan Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) pada 19 Julai 2005, organisasi itu telah mengadakan pelbagai aktiviti memanfaatkan masyarakat khususnya rakyat Terengganu. Ia juga selaras dengan objektif - satu laluan merealisasikan iltizam Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Mizan Sultan Zainal Abidin untuk berbakti kepada penduduk layak memerlukan.

Bukan itu sahaja, ruang lingkup penubuhannya termasuk menyokong dan membantu usaha pengekalan identiti serta budaya bangsa dengan menjamin kesinambungan seni kraf tangan Terengganu. Malah, Yayasan Diraja Sultan Mizan tidak ketinggalan mengadakan himpunan program murni seperti membela nasib anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal, para petani dan nelayan.

Paling membanggakan, kelancaran Yayasan Diraja Sultan Mizan melaksanakan pelbagai rencananya selama ini mendapat kerjasama daripada banyak pihak seperti dermawan baik secara individu mahupun korporat yang masing-masing tidak terkecuali ingin menjalankan tanggungjawab sosial.

Terbaru, sebuah program iaitu Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah naungan Yayasan Diraja Sultan Mizan bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 2 Oktober ini dengan membariskan deretan artis popular tanah air seperti Jay Jay, Alyah, Farhan dan Fazli Zainal.

Diuruskan oleh Hadgente Event Management yang dilantik Yayasan Diraja Sultan Mizan dengan kolaborasi Impak Teroka Sdn. Bhd. dikepalai penggiat seni berpengalaman, Manan Ngah, Simfoni Amal Diraja - Harmoni Itu Indah dijalankan bertujuan menambah dana menerusi pembelian meja, penjualan buku Dirgahayu Tuanku - Sejarah Tiga Abad Kesultanan Terengganu serta lelongan lukisan-lukisan.

Hadirin juga bakal menyaksikan persembahan memukau sepanjang satu jam setengah daripada artis-artis terlibat menjayakan majlis kebajikan berkenaan. Sebanyak 15 buah lagu bakal diperdengar oleh para penyanyi termasuk medley pada malam itu sambil dibantu pemuzik iringan berjumlah 15 orang.

Tuanku Sultan Mizan telah berkenan berangkat sebagai suatu manifestasi baginda sebagai Penaung Yayasan Diraja Sultan Mizan dalam menghargai setiap inci sumbangan bakal mencerahkan masa depan golongan memerlukan.

Ia juga menjadi petanda bahawa baginda merupakan seorang raja berjiwa rakyat yang turut punya kecintaan terhadap bidang seni serta muzik selain majlis tersebut bakal menyatu semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, kaum dan agama di bawah satu tema berbunyi, Harmoni Itu Indah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: