MELANGKAH masuk ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Teknologi Audio Ocean, Mohd. Al-Amin Said kelihatan sebuah kotak mesin berwarna lapuk kekuningan terletak rapi sudut mejanya.
Kewujudannya seumpama menjadi bongkah yang tidak bermakna apa-apa, apatah lagi di sebelahnya terdapat sebuah komputer riba Macbook yang nipis dan moden reka bentuknya.
Mesin yang zahirnya kekuningan tersebut sebenarnya adalah komputer Macintosh SE keluaran syarikat gergasi Apple Inc. pada tahun 1987. Ia masih di atas meja Mohd. Al-Amin kerana ia membawa 1,001 kenangan kepada pemiliknya.
Walaupun sudah melebihi 20 tahun dalam simpanan Mohd. Al-Amin, komputer yang mempunyai skrin monokrom (hitam putih) berserta tetikus itu masih berfungsi dengan baik dan digunakan sehingga hari ini.
"Bukan komputer ini sahaja peralatan yang boleh dianggap vintaj tetapi terdapat peralatan audio analog yang masih digunakan untuk membantu pelajar-pelajar mengetahui asas pembelajaran audio," terang Mohd. Al-Amin.
Sambil menekan butang skrin komputer berkenaan, Mohd Al-Amin berkata: "Koleksi peralatan audio yang boleh dianggap vintaj di institut ini juga seperti kereta. Ia perlu digunakan selalu agar ia dapat terus beroperasi dengan baik.
"Jika tiada yang menggunakannya, sekali dalam seminggu peralatan ini akan dihidupkan untuk memastikan ia dapat berfungsi dengan baik apabila ingin digunakan oleh pelajar-pelajar," ujarnya.
Dalam nada teruja, Mohd. Al-Amin menambah, komputer Macintosh SE itu masih mempunyai aplikasi Words versi 4.
Dia juga sempat menunjukkan aplikasi Master Tracks Pro di dalam komputer berkenaan yang digunakan untuk mengajar asas MIDI kepada pelajar-pelajarnya.
Katanya, komputer Macintosh SE itu merupakan antara peralatan kegemaran yang digunakan sehingga hari ini kerana banyak melakukan tugas-tugas menggubah lagu untuk iklan-iklan dan agensi kerajaan.
Studiomaster
|
|
Selain komputer berkenaan, Mohd. Al-Amin turut menunjukkan konsul mixer analog Studiomaster P7.
Peralatan audio yang dikeluarkan pada tahun 1990 itu masih digunakan oleh institut berkenaan untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar mengenai asas rakaman.
Bagaimanapun, sebelum pelajar-pelajar dapat menggunakan Studiomaster P7 yang mempunyai 32 rangkaian itu, mereka perlu mempelajari mengenai teknik dan asas kejuruteraan audio terlebih dahulu secara teori.
"Selepas itu, kita akan memberikan mereka konsul mixer yang mempunyai 12 rangkaian terlebih dahulu untuk mereka memahirkan diri dalam mengendalikan peralatan berkenaan.
"Mereka akan mempelajari perkara asas audio seperti membuat penyambungan kabel yang betul, menggunakan frekuensi, bass, equalizer dan lain-lain lagi," ujarnya.
Dia menambah, kaedah menggunakan peralatan analog ini dilakukan adalah untuk memudahkan pelajar-pelajar apabila berdepan dengan masalah ketika di alam pekerjaan.
Katanya, mereka perlu mengetahui cara-cara untuk mengatasi masalah agar sesuatu rakaman dapat berjalan dengan lancar tanpa halangan.
Dalam pada itu, Mohd. Al-Amin menambah, sebelum era digital, dia terpaksa merakam gambar tombol-tombol konsul mixer agar dapat merakamkan penetapan bacaan. Ia penting kerana penggunaan konsul itu sering bertukar tangan.
"Pada waktu itu, kita menggunakan gambar polaroid untuk menyimpan setting rakaman yang telah dibuat untuk mengelakkan kita terlupa keesokan harinya.
"Kaedah ini perlu dilakukan kerana apabila orang lain menggunakan mixer analog berkenaan, segala seting yang telah ditetapkan akan bertukar sama sekali," katanya sambil mengimbas kenangan lalu.
Dia menambah, peredaran zaman dan evolusi teknologi digital telah memudahkan lagi pelajar-pelajar menggunakan konsul pada hari ini.
Katanya, konsul mixer digital mempunyai keupayaan menyimpan setting yang telah dilakukan, sekali gus memudahkan lagi persediaan tugasan berikutnya.
Medium penstoran
Sedang asyik mendengar penjelasan Mohd. Al-Amin, mata penulis terlihat pita rakaman sistem video rumah (VHS) dan kaset yang pernah menjadi kegilaan remaja satu ketika dahulu.
Jelasnya, pita rakaman VHS dan kaset berkenaan digunakan bersama mesin super VHS empat rangkaian yang bertindak sebagai medium penstoran.
"Pada kebiasaannya, ia digunakan untuk memindahkan rakaman VHS kepada pelbagai format digital seperti cakera padat (CD).
"Tidak ramai yang menggunakan pita VHS lagi tetapi terdapat segelintir masyarakat dan syarikat ingin membuat penyimpanan terhadap pita VHS lama mereka," katanya.
Ujarnya, produk-produk analog seperti pita rakaman VHS dan kaset tidak boleh dibiarkan terlalu lama kerana ia akan berkulat sekali gus merosakkan kualiti rakaman dan main semula.
Katanya, ia perlu dipindahkan ke dalam format lain untuk memastikan rakaman tersebut terpelihara dan tahan lebih lama.
Dalam pada itu, Mohd. Al-Amin memberitahu bahawa peralatan audio yang digunakan dahulu tidaklah terlalu ketinggalan zaman dan dilupakan.
"Sebagai contoh, mesin pemampat bunyi yang digunakan sebelum era digital masih dimanfaatkan dalam aplikasi komputer pada hari ini.
"Apa yang membezakan kedua-dua era ini adalah aplikasi tersebut kini menggunakan alam maya di skrin komputer sedangkan kegunaan dan fungsinya kekal sama," katanya.
Selain daripada peralatan-peralatan tersebut, Mohd. Al-Amin juga memiliki peralatan yang dianggap vintaj seperti instrumen keyboard menggunakan cakera liut, pemain pita audio digital (DAT), perakam kaset multi runut dan banyak lagi.
"Saya tidak pernah merancang untuk mengumpul peralatan-peralatan vintaj ini. Apabila teknologi baru muncul adalah peralatan audio yang lebih canggih dan terkini.
"Disebabkan peralatan-peralatan audio lama ini masih boleh digunakan saya tidak merancang untuk menjualnya dan terus menggunakan untuk memastikan pelajar-pelajar memperoleh ilmu," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: