Wednesday, July 28, 2010

Persona Mizz Nina



Nama Mizz Nina mungkin asing bagi segelintir peminat industri seni tempatan walaupun pernah menganggotai kumpulan Teh Tarik Crew.

Namun penampilan solo bersama album sulung berjudul What You Waiting For, Mizz Nina dilihat sebagai antara penyanyi wanita berpotensi besar.

Lebih menarik, kolaborasinya bersama penyanyi dari Amerika Syarikat, Colby O’Donis yang sebelum ini pernah bekerjsama dengan Akon dan Lady Gaga membuktikan beliau mempunyai keistimewaan tersendiri .

”Proses kerjasama ini dijalankan oleh pihak pengurusan kami. Ini kerana saya cukup mengagumi bakat serta kebolehan Colby. Saya harap kerjasama ini akan berhasil dan daripada respons yang diberikan oleh peminat, mereka menyukai lagu tersebut,” katanya.

Ketika ditanya media mengapa album tersebut mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan, Mizz Nina memberitahu, proses mengumpul material memerlukan masa panjang.

Katanya, tumpuan utamanya ialah memberikan yang terbaik dalam setiap 14 buah lagu yang dimuatkan di dalam album sulungnya itu.

”Proses rakaman bukan sahaja dilakukan dalam negara, malah turut dijalankan di Los Angeles. Apa pun saya puas hati dengan proses pembikinan album ini,” katanya.

Bercerita mengenai album sulungnya itu, Mizz Nina menjelaskan album tersebut memuatkan 14 buah lagu dan lima daripadanya di dalam bahasa Melayu. Lebih hebat lagi, melalui album tersebut dia bukan sahaja berpeluang berduet dengan Colby malah turut bekerjasama dengan Noh (Hujan), Mawar Berduri (Ahli Fiqir) serta Mc Dandee, penyanyi terkemuka dari Bangkok, Thailand.

Ketika ditanya mengenai aksinya dalam klip video What You Waiting For, Mizz Nina mengakui tidak terlepas daripada reaksi peminat yang mungkin beranggapan beliau dilihat 'nakal' dan terlebih seksi.

”Saya tak kisah orang nak cakap apa pun. Sebab apa yang penting bagi saya ialah keluarga dan kawan-kawan saya tahu siapa dia Mizz Nina. Selain itu saya juga tak boleh nak sekat apa yang orang nak cakap atau fikir mengenai saya.

”Sehingga kini saya bersyukur kerana klip video tersebut disukai ramai dan sejak ia mula ditayangkan di web YouTube pada 31 Mac lalu, sudah lebih 400,000 orang menontonnya,” katanya.

Berkenaan perancangan untuk membawa lagu-lagunya sehingga ke peringkat antarabangsa, Mizz Nina mengakui mempunyai perancangan ke arah tersebut. Namun, sebagai permulaan dia mahu dikenali di Malaysia terlebih dahulu sebelum mengorak langkah sehingga ke Indonesia, Singapura dan Los Angeles.

Sementara itu, jika dihayati bait-bait lirik dan mesej yang tersirat dalam lagu itu, karya ciptaan Koolade dan James Knox itu sebenarnya bercerita tentang pesta liar, pergaulan bebas antara muda-mudi dan berbaur seksual.

Sebagai penyanyi yang sedar akan tanggungjawab sosialnya, dia sama sekali tidak melihat perkara itu sebagai satu isu. Sekalipun ia mungkin berbentuk provokasi Mizz Nina sama sekali tidak berniat atau sengaja untuk mendorong peminat untuk mengikuti apa yang disampaikan dalam lagu itu.

”Lagu itu dihasilkan untuk hiburan semata-mata. Ia hanyalah sebuah lagu tentang kemeriahan hidup dan pesta muda-mudi yang penuh warna-warni dan kegembiraan.

”Memang saya akui liriknya agak ‘nakal’ tapi ia hanya cerita dalam lagu itu. Bukannya saya ingin mendorong masyarakat untuk melakukan seperti mana dalam lagu itu. Ia hanyalah sebuah lagu dan tidak lebih daripada itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: