|
|
SAYA cuba untuk tidak skeptikal sebelum menonton filem ini. Sejujurnya, fikiran itu selalu saya tanamkan setiap kali mahu menyaksikan filem- filem Melayu.
Saya sedar, saya patut memahami dan menerima kekurangan kita, tetapi dalam masa yang sama, saya masih mahu dihiburkan dan tidak berasa menyesal apabila membayar tiket wayang.
Semasa filem Zoo dilancarkan, menerusi sinopsisnya, saya akui ia satu idea yang menarik, walaupun bukan baru.
Kisah hubungan manusia dengan haiwan bukanlah sesuatu yang asing di Hollywood, sekadar memberi contoh seperti Free Willy (1993), siri Ace Ventura (1994, 1995), siri Dr. Dolittle (1998, 2001) dan Hachiko: A Dog's Story (2009).
Namun, di Malaysia, seingat saya, hanya filem OK: Orang Kampung Otak Kimia (1990) yang agak menonjol dalam menampilkan haiwan sebagai salah satu karakter utamanya iaitu kambing yang diberikan suara.
Justeru, saya sokong keinginan Azhari Zain selaku pengarah serta penerbitnya, David Teo dalam memberikan kelainan kepada industri sinema tempatan.
Zoo mengisahkan seorang jejaka bernama Saad yang sangat sukakan haiwan. Kerana kecenderungan itu, cubaannya untuk memohon kerja di zoo berjaya dan diberikan jawatan sebagai pengawal keselamatan.
Selain Saad, turut bertugas di zoo itu ialah Encik Din, pengurus yang berwajah menakutkan; Osman sebagai penyelia kaki ampu serta Sheila, pengawai perhubungan awam yang manis dan yang nampak paling normal di antara karakter-karakter lain.
Sebelum Saad, ramai pengawal keselamatan lain berhenti kerja. Mereka mengadu dapat mendengar haiwan-haiwan bercakap pada waktu malam.
Pastinya alasan itu tidak dipercayai sesiapa, sehinggalah Saad sendiri mengalaminya.
Sebenarnya, saya amat keliru dan tidak jelas dengan penyampaian filem ini. Saya berikan contoh.
Pada malam pertama bekerja, Saad sangat terkejut apabila mendapati haiwan-haiwan di dalam kandang bercakap.
Ertinya, dia mampu mendengar suara-suara itu. Saad kemudiannya demam kerana berdepan dengan peristiwa aneh.
Kita imbas kembali adegan awal. Sebelum Saad mengalami peristiwa tadi, terdapat babak yang menunjukkan haiwan peliharaan di rumahnya juga boleh bersuara.
Kerana itu, saya tidak dapat membezakan pada waktu bila suara haiwan itu boleh didengar manusia dan bila pula mereka hanya bercakap di dalam hati.
Haiwan-haiwan di dalam filem ini tidak berhenti-henti bercakap!
Adegan seterusnya menyaksikan haiwan-haiwan eksotik di dalam zoo dirompak dua penyamun. (Nota: adakah kambing termasuk dalam spesis eksotik? Saya kurang pasti).
Identiti kedua-dua penjahat itu didedahkan sejak awal, malah adegan rompakan juga dilakukan dalam cahaya terang-benderang dengan suara penyamun yang bercakap kuat.
Saya fikir pengarah memang tidak berniat untuk menimbulkan rasa suspen di sini.
Osman menuduh Saad sebagai pencuri. Sheila yang rapat dengan Saad juga tiba-tiba berpaling tadah dengan mengemukakan bukti palsu.
Kecewa dipecat, Saad mengambil keputusan untuk membersihkan namanya dengan menjejaki dua penyamun tadi.
Penjiwaan Lan Pet Pet sebagai Saad tidak banyak beza dengan lakonannya dalam siri dan filem-filem Senario.
Olah tubuh, mimik muka dan gaya bercakap, masih tipikal Lan Pet Pet. Cuma dia lebih banyak memekik sepanjang filem ini. Mengambil inspirasi tarzan, barangkali.
Daripada lakon layarnya, saya menyimpulkan Azhari mahu menjadikan Zoo sebuah filem komedi slapstik yang ringan. Dari sudut itu, ia mungkin berjaya tetapi adakah ringan bermakna kosong?
Saya tidak pasti jika sasaran filem ini hanya untuk kanak-kanak kerana orang dewasa seperti saya terasa sedikit diperlekehkan. Saya berikan contoh.
Perbuatan Sheila bersubahat dengan penyamun, saya fikir satu jenayah yang berat. Dialah dalang yang membenarkan pencuri masuk.
Malangnya, Azhari mempermudahkan soal undang-undang apabila kes Sheila dianggap remeh, hanya diselesaikan secara dalaman oleh pengurus, bukan pihak berkuasa. Bukankah ini Zoo Negara?
Lebih mengecewakan apabila cara penyelesaian pun dijadikan sebagai bahan untuk memaksa penonton ketawa.
Benar, pembikin filem ada lesen kreatif atas nama seni dan hiburan. Benar, pembikin filem boleh memberi alasan ini sekadar fiksyen, lebih-lebih lagi komedi.
Tetapi, saya percaya pembikin filem juga ada tanggungjawab untuk tidak mempermain-mainkan minda penonton pada sesuatu yang munasabah.
Saya cuba untuk tidak skeptikal selepas menonton filem ini. Saya yakin filem sebegini ada kelompok pengikutnya yang tersendiri.
Saya sedar, saya patut memahami dan menerima kekurangan kita, tetapi sampai bila kita harus berkompromi?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: