Thursday, July 15, 2010

Penyewa cekik anak tuan rumah

KUALA LUMPUR: Niat seorang wanita menyewakan rumah bapanya untuk meningkatkan pendapatan bertukar pengalaman ngeri apabila dia bukan saja ditampar, ditendang dan dibaling dengan kerusi, malah turut dicekik penyewa ketika datang menuntut sewa rumah.

KESAL...Raja Fazilah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Raja Fazilah menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
Dalam kejadian pada 24 Jun lalu, mangsa pergi ke rumah yang disewakan kepada suami isteri berusia awal 30-an dan mempunyai tiga anak bagi meminta duit sewa, namun berlaku kekecohan sehingga menyebabkan mangsa dipukul.


Mangsa, Raja Fazilah Raja Lop, 24, berkata dia menyewakan rumah bapanya di Jalan Hilir 7, Taman Angsana Hilir, Kampung Pandan, dekat sini, bermula 1 April lalu.


Namun, penyewa terbabit sejak dari awal sering lewat membayar sewa dari tarikh yang dipersetujui mereka termasuk dua bulan deposit sebanyak RM1,200.


Menurutnya, dia membuat pendedahan itu berikutan laporan Harian Metro pada 6 Julai lalu yang bertajuk ‘2 wanita bergusti depan suami’ dan berasakan laporan berkenaan hanya daripada sebelah pihak.


Menceritakan kembali kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu, dia berkata kehadirannya bersama tiga kakak dan dua abang iparnya ke rumah berkenaan untuk mendapatkan penjelasan berikutan sewa rumah yang kurang daripada jumlah dijanjikan dan melihat resit bank bukti pembayaran sewa untuk Mei.


“Ketika itu saya bersama beberapa ahli keluarga lain disuruh datang ke rumah penyewa untuk melihat resit berkenaan dan sebaik tiba di rumah, penyewa dengan sinis menjemput masuk.


“Saya bersama kakak masuk dan berbincang mengenai sewa. Mereka menunjukkan surat bank mengatakan berlaku masalah teknikal dan RM200 daripada RM600 tersangkut dalam mesin deposit tunai,” katanya.


Menurutnya, dia mempertikaikan kenapa tidak diberitahu mengenai perkara itu sebelum ini dan tiba-tiba isteri penyewa terbabit naik angin dan menampar mukanya. Dia terpaksa mempertahankan diri serta bergelut dengan wanita terbabit.


“Kemudian suaminya menendang saya. Tidak cukup dengan itu lelaki terbabit mencekik saya. Nasib baik kakak dan abang ipar membantu meleraikan kami.


“Bengang tindakannya dihalang, lelaki terbabit pergi ke dapur dan mengambil pisau. Risaukan keselamatan kami semua beredar dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya,” katanya.Mangsa turut membuat pemeriksaan kesihatan ekoran kejadian itu dan sehingga kini melalui maklumat yang diperoleh daripada pegawai penyiasat kes terbabit mengatakan siasatan masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: