Thursday, July 8, 2010

Pengorbanan Chin Lee


Para pemenang pertandingan melukis anjuran MBG Fruitshop bersama hadiah masing-masing.


KEMESRAAN dan keakraban antara Sia Chin Lee, 41, dan anak sulungnya, Sia Chen Yi, 8, ketika menyertai satu pertandingan melukis di ibu negara baru-baru ini, memang menarik perhatian.

Situasi itu bukan sahaja jarang dilihat malah mampu menyentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Dalam keadaan tubuh si bapa yang separuh lumpuh dia tetap menggagahkan diri berada di sisi anaknya yang begitu asyik melukis.

Tanpa mengendahkan mata-mata yang memandang, Chin Lee turun dari kerusi roda, sambil mengensot dia duduk di atas simen yang sejuk di sisi Chen Yi.

Sesekali kedengaran suaranya mengarah Chen Yi mengambil pensel warna yang diperlukan sambil tangan turut membantu mewarnakan lakaran yang separuh siap.

Senario itu menunjukkan kecacatan atau kekurangan bukan penghalang bagi seseorang itu untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa.

Nyata, kecacatan yang dialami sedikit pun tidak menghalang Chin Lee membuktikan kasih sayangnya dan menghabiskan masa bersama keluarga dengan menyertai pertandingan melukis untuk anak dan bapa anjuran MBG Fruitshop di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih mengharukan, dia yang bermastautin serta bekerja di Muar, Johor, sanggup turun ke Kuala Lumpur semata-mata untuk memenuhi permintaan anaknya yang sememangnya gemar melukis.

Bagi lelaki itu tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat bersama-sama keluarga tercinta menghabiskan cuti hujung minggu bersama.

Ketika ditanya, Chin Lee menyatakan, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk 'menikmati' cuti hujung minggu bersama isteri dan dua orang anaknya memandangkan pada hari biasa dia sibuk bekerja.

Walaupun memandu dari Muar ke Kuala Lumpur menuntut masa yang agak panjang dan tidak selesa lebih-lebih dalam keadaan tubuhnya yang kurang sempurna, namun Chin Lee sanggup melakukan apa sahaja demi keluarga tercinta.

''Ini merupakan kali kedua kami menyertai pertandingan melukis di Kuala Lumpur.

''Pada saya tidak ada masalah menyertai apa jua pertandingan dan di mana juga lokasinya asalkan anak-anak saya gembira.

''Yang penting saya tidak pernah menjadikan kecacatan diri sebagai penghalang untuk bergembira bersama-sama keluarga tercinta ,'' ujarnya.

Sedang Chin Lee tekun menyiapkan lukisan bersama-sama anak sulungnya, isterinya, Leong Ka Ling, 29, pula melayan anak keduanya, Sia Hao Lin, 3, menghabiskan tugasan yang diberikan.

Pertandingan melukis anjuran MBG Fruitshop itu diadakan sempena cuti sekolah dan sambutan Hari Bapa baru-baru ini.

Bertemakan 'Hidup Sihat, Keluarga Bahagia', pertandingan tersebut dilihat mencapai matlamat asal kerana seramai 146 buah keluarga telah menyertai pertandingan tersebut termasuk dua buah keluarga yang terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan MBG Fruits, Adnan Lee, setiap tahun pihaknya pasti menganjurkan program seumpama itu di pusat membeli belah yang berlainan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

''Apabila pertandingan seperti ini diadakan, ia secara tidak langsung menunjukkan kreativiti antara anak dan bapa di samping bekerjasama menghasilkan satu lukisan yang baik dan berkualiti.

''Pihak kami juga akan meneruskan program sebegini setiap cuti sekolah di masa akan datang,'' ujarnya.

Pada pertandingan tersebut, gandingan Ho Soon Lang, 43, dan anaknya Ho Mun Juein, 15, telah memikat hati juri untuk dinobatkan sebagai pemenang utama.

Mereka membawa pulang hadiah bernilai RM3,000, hamper buah-buahan dan juga trofi.

Tempat kedua dimenangi oleh pasangan ibu dan anak, Lim Soo Eng, 47, dan Fung Jing Xian, 15, sementara tempat ketiga dimenangi Lee Boon Ho, 39, dan Lee Jia Yao, 12.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500 beserta hamper buah-buahan serta trofi.

Ternyata pertandingan tersebut bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan malah ia juga secara tidak langsung mencungkil bakat-bakat terpendam di kalangan ahli keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: