|
|
Sempena bulan membaca pada Julai setiap tahun adalah baik disoroti pandangan Islam terhadap budaya ini. Elok juga dikupas budaya mengkaji dan menulis bersama-sama budaya membaca dalam perkembangan ajaran Islam itu sendiri.
Wahyu pertama kepada Rasulullah SAW dimulakan dengan perkataan iqra' atau bacalah. Bahkan seluruh kandungan wahyu itu dinamakan al-Quran yang bermaksud bacaan.
Membaca adalah suruhan Allah ke atas umat Islam (rujuk al-Alaq: 1-5). Kalimah iqra' yang diterjemahkan kepada bacalah adalah merupakan fi'il 'amar (kata perintah). Kata perintah ini mengandungi seribu satu rahsia yang jika dikupas dapat memacu umat Islam ke arah kejayaan duniawi dan ukhrawi.
Sebab itu, ilmuwan Islam seperti Muhammad Abduh menganggap di sebalik wahyu pertama itu ada falsafah yang cukup tinggi iaitu falsafah iqra' yang meliputi cara dan kaedah manusia dalam mendapatkan ilmu pengetahuan.
Kenyataan itu diteguhkan melalui hadis Nabi SAW: "Menuntut ilmu adalah satu kewajipan ke atas setiap Muslim". (riwayat Ibn Majah).
Peristiwa penurunan wahyu di Gua Hira' memberi pengajaran yang besar. Allah Maha Mengetahui dan Jibrail juga tahu Muhammad itu ummi (tidak tahu membaca dan menulis).
Namun tidak tahu bukanlah alasan untuk tinggal beku. Tidak berdaya bukan juga penyelesaian untuk terus tidak mencuba.
Berkali-kali Jibrail memeluk Baginda memasukkan keberanian, keyakinan dan dorongan. Setelah kali ketiga akhirnya baginda berjaya membaca. Ternyata, bimbingan dan dorongan begitu penting dalam pembudayaan iqra' itu.
Begitu juga aspek galakan dan rangsangan adalah perlu bagi proses pembelajaran terutama bagi anak-anak. Sejak peristiwa Gua Hira' itu, Rasulullah SAW giat memperkembangkan budaya iqra' itu dalam kalangan umatnya.
Di peringkat awal baginda membacakan al-Quran. Para sahabat mempelajari dan menghafalnya. Ada juga yang dicatat untuk keperluan yang terhad.
Perkembangan awal Islam di Madinah pula, mereka sibuk mempelajari hal-hal kenegaraan seperti perundangan dan kemasyarakatan di samping berkaitan muamalat harian seperti perdagangan, pertanian dan sebagainya.
Semua itu dicatat dan dibukukan untuk rujukan masyarakat setempat di samping ada juga yang dihantar kepada negara-negara jiran. Semua itu bukti budaya membaca dan menulis amat mendominasi kehidupan seharian mereka.
Pada zaman Khalifah Uthman r.a, beliau mengarahkan para sahabat menyalin al-Quran yang kemudiannya dikenali sebagai mushaf Uthmani.
Pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, para ulama diperintah mengumpul dan menulis hadis-hadis Nabi SAW pada akhir kurun pertama hijrah.
Penulisan hadis diteruskan sehingga lahirnya ulama seperti Imam Bukhari dan Muslim yang menukilkan kitab Sahih Bukhari dan Muslim yang menjadi rujukan umat Islam hingga kini.
Kemunculan tamadun iqra' dan berkembangnya budaya membaca, mengkaji dan menulis semakin ketara pada zaman khalifah Abassiah yang berpusat di Iraq. Ketika itu pusat-pusat pengajian bercambah dengan pesat di kota-kota Baghdad, Basrah dan beberapa kota lain.
Natijah daripada budaya iqra' itu yang terangkum di dalamnya tiga ciri iaitu membaca, mengkaji dan menulis maka perbendaharaan ilmu-ilmu Islam bertambah bernas, kemas dan luas.
Mengkaji
Seiring dengan budaya membaca, budaya mengkaji dan menyelidik harus berjalan subur untuk memastikan proses pembangunan ilmu berjalan lancar.
Budaya mengkaji ini wajar digiatkan sama ada dalam persoalan sosial, ekonomi, politik, sains, teknologi dan sebagainya.
Pengkajian dan penyelidikan amat penting dalam sesebuah negara kerana sifat ilmu pengetahuan yang harus sentiasa berkembang untuk menerokai potensi yang ada secara optimum.
Kita harus kembali melahir dan meramaikan sarjana-sarjana muslim bertaraf dunia seperti Ibn Sina, Ibn Rusyd, al-Khawarizmi dalam bidang sains tulen dan perubatan.
Kita harus juga melahirkan tokoh sejarawan dan ahli sosiologi seperti Ibn Khaldun, al-Zahabi, Ibn Batutah dalam masyarakat kita.
Menulis
Penulisan berperanan besar dalam merakam sejarah dan peradaban lepas untuk bacaan dan kajian lanjutan.
Kemajuan tamadun dan peradaban dapat dipertingkatkan dengan membukukannya atau menghasilkannya dalam bentuk bahan cetak.
Syed Muhammad Naquib al-Attas pernah memetik kata-kata al-Raniri, "Tanpa berlengah-lengah saya membuat keputusan bahawa sumbangan yang abadi yang dapat diberikan oleh seseorang dalam keadaan seumpama ini ialah menulis buku kerana buku dapat kekal lama selepas kerajaan, manusia, negara, catatan pemikiran dan tindakan manusia lupus".
Kesimpulannya, marilah kita menghayati falsafah iqra' dan menghidupkan kembali tamadun iqra'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: