PUCHONG - Penat lelah sekumpulan penjenayah 'melapah' sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selama satu jam nyata sia-sia apabila mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong dalam kejadian di Taman Tenaga di sini semalam.
Apa tidaknya, belum sempat memungut hasil rompakan, lokasi itu telah diserbu polis dalam kejadian pukul 4.20 pagi di sebuah stesen minyak di situ.
Modus operandi suspek yang dipercayai lebih daripada dua orang ialah menggunakan tong gas pemotong Oxyatcytelyne dan alat mengimpal untuk melarikan wang di dalam mesin ATM berkenaan.
Difahamkan, mereka mengumpil pintu belakang berhampiran tandas stesen minyak tersebut sebelum memotong sebahagian pintu kayu mengikut saiz badan lelaki dewasa untuk ke mesin berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supritendan Abdul Aziz Abdul Majid berkata, syarikat keselamatan yang mendapati ada pergerakan di dalam premis tersebut segera menghubungi pemiliknya dan polis.
"Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian telah melarikan diri dan meninggalkan beberapa peralatan yang digunakan seperti dua buah tong gas, sarung tangan, tiga beg alatan pecah rumah dan alat pemotong besi.
"Pemeriksaan awal mendapati, selepas memecah pintu belakang suspek kemudian membuat lubang pada bawah pintu kayu bersebelahan mesin ATM untuk mengelakkan alat penggera berbunyi," katanya ketika ditemui di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: