Monday, July 5, 2010

Pengguna masih belum sedar hak


PENGGUNA seharusnya lebih peka dengan kuasa yang ada pada mereka.


SIKAP tak kisah masyarakat di negara ini dikatakan antara punca kempen kesedaran mengenai hak dan kepentingan sebagai seorang pengguna dilihat kurang berkesan.

Bahkan kesedaran bahawa seseorang pengguna itu mempunyai kuasa masih belum di tahap yang membanggakan ketika ini.

"Sebagai contoh, apabila seseorang pengguna yang mengambil sikap tak kisah setelah ditipu membeli barangan yang berharga RM50 kerana beranggapan ia satu jumlah yang kecil dan tidak harus diperbesarkan.

"Disebabkan sikap segelintir pengguna yang sebeginilah menyebabkan ramai peniaga akan mengambil kesempatan untuk terus menipu," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada satu sidang akhbar baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas upacara pelepasan skuad Jelajah Pengguna 1Malaysia yang terdiri daripada 17 kenderaan Ixora yang akan menjelajah ke seluruh negara sempena Bulan Pengguna Kebangsaan 2010.

Menurut Ismail Sabri, melalui kajian yang telah dilakukan oleh pihak kementerian mendapati hanya 58 peratus sahaja masyarakat di negara ini yang menyedari hak dan kepentingan mereka sebagai seorang pengguna.

Katanya, peratusan semakin mengecil apabila kajian yang dibuat melibatkan pengguna yang tinggal di luar bandar.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pada tahun ini pihak kementerian telah mengambil keputusan untuk menganjurkan Bulan Pengguna Kebangsaan 2010. Program itu dianjurkan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna tentang aspek kepenggunaan dan memperlengkapkan semua lapisan masyarakat dengan pengetahuan kepenggunaan.

"Pelbagai program telah dirancang dan lebih difokuskan kepada pendidikan kepenggunaan dan perlindungan pengguna serta memberi kesedaran tentang kuasa sebagai seorang pengguna," katanya.

Kata Ismail Sabri sebanyak 122 program akan diadakan yang melibatkan peringkat negeri dan kebangsaan serta kemuncaknya adalah majlis perasmian yang akan diadakan pada 27 Julai ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: