Monday, July 19, 2010

Peluang untuk pemain tempatan


SHABAAN Husin


KETIKA pemain golf profesional tempatan ketandusan pertandingan untuk disertai, kejohanan Jemputan Masters Negeri Sembilan membuka sedikit ruang bagi mereka.

Untuk peringkat tempatan bagi 2010 sehingga kini baru ada tiga kejohanan. Untuk peringkat antarabangsa hanya lapan pemain dapat beraksi di Jelajah Asia.

Jadi, Jemputan Masters Negeri Sembilan yang terletak di bawah Jelajah Pembangunan Asia sedikit sebanyak memberi kesempatan kepada mereka untuk menambahkan pendapatan.

Sebanyak 40 pemain golf profesional negara layak beraksi di samping 10 lagi yang dipilih melalui pusingan kelayakan.

Semua 50 pemain tempatan itu akan bersaing dengan 88 lagi pemain luar negara untuk merebut hadiah keseluruhan RM500,000.

Antara pemain luar yang dijangka memberi cabaran untuk merebut hadiah wang tunai bagi juara bernilai RM78,750 itu ialah juara bertahan, Lam Chih Beng dari Singapura.

Turut memberi cabaran ialah juara 2006, M. Murugiah dari Singapura, pemain Filipina Mars Pucay dan dua pemain dari Australia Unho Park dan Gavin Flint.

Tahun lalu, Lam muncul juara setelah menumpaskan pemain dari Taiwan Lu Chien-soon dengan pukulan eagle penuh dramatik di playoff lubang keempat dan tahun ini beliau dijangka terus menyinar di lapangan sepanjang 6,303-meter, par-72 Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC).

Kehadiran pemain-pemain luar itu tidak bermakna pemain-pemain tempatan akan menyerah kalah dengan mudah.

Tambahan pula, pemain tempatan yang muncul juara berpeluang mendapat bonus tambahan RM10,000 yang diumumkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohd. Shaaban Hussin yang baru-baru ini memenangi pusingan kelayakan Kejohanan Golf Klasik Asia Pasifik CIMB diuar-uarkan sebagai pemain tempatan yang mampu mencipta kejutan. Shaaban yang biasa dengan lapangan SIGC yakin dalam menghadapi edisi keenam Jemputan Masters Negeri Sembilan.

"Saya selalu bermain disini (SIGC), bukan hanya untuk pertandingan tapi untuk latihan dan permainan biasa bersama kawan-kawan, jadilapangan ini tidak asing buat saya," jelas Shaaban.

Lebih jelas lagi, kejayaan beliau di Kelab Golf The Mines awal bulan ini yang menempatkan beliau selaku wakil tunggal Negara di kejohanan Klasik Asia Pasifik, turut memberikan beliau lebih keyakinan dalam permainannya sekarang.

"Saya gembira dengan permainan saya sekarang ini dan berharap dapat mengekalkan tahap persembahan saya minggu ini. Kalah menang tidak terlintas difikiran kerana saya hanya mahu memberi persembahan

terbaik." tambah Shaaban.

S. Sivachandran merupakan seorang lagi pemain negara yang mampu mencabar.

Pada edisi tahun lalu, Siva adalah satu-satunya pemain tempatan yang menamatkan cabaran dalam kelompok 10 terbaik.

Sementara itu, pemain kelahiran Seremban Akhmal Tarmizee Mohd Nazari, salah seorang pemain yang bermula dari program golf junior SIGC, ketika ini menduduki tempat kedua Order of Merit Jelajah Pembangunan Asia. Bekas pemain kebangsaan itu turut bakal beraksi di edisi tahun ini.

Pengarah Kejohanan, Datuk Mohd. Yaacob Mohd. Kassim, menjelaskan keputusan untuk bekerjasama dengan Jelajah Pembangunan Asia diharap dapat membantu meningkatkan prestij kejohanan di samping memberi peluang kepada pemain-pemain muda Malaysia bersaing di peringkat lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: