Thursday, July 1, 2010

Pelawat cilik Royal Selangor


Pelawat cilik meraikan sambutan 125 tahun Royal Selangor dengan kek cawan.


SEMPENA musim cuti persekolahan baru-baru ini, Royal Selangor telah menganjurkan aktiviti ‘Hari Membawa Anak-anak Kita ke Tempat Kerja’.

Aktiviti itu dilakukan bagi memberi peluang untuk anak-anak pekerja Royal Selangor mengikuti ibu bapa mereka ke tempat kerja.

Ia berlangsung bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Royal Selangor yang ke-125.

Pada hari itu seramai 128 anak-anak berpeluang melihat tempat kerja ibu bapa mereka serta mengalami sendiri bagaimana pengalaman budaya kerja di Royal Selangor.

Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan telah diadakan bagi kanak-kanak berumur dari tujuh hingga dua belas tahun.

Hari yang menyeronokkan bagi mereka itu dimulakan dengan lawatan ke Pusat Pelawat Royal Selangor di mana mereka telah mempelajari sejarah syarikat Royal Selangor dan juga sistem perlombongan bijih timah di Malaysia.

Selepas mengadakan lawatan ke bahagian-bahagian Muzium Peuter, Peuter Sains dan Chambers of Chimes, kanak-kanak ini telah dibawa ke kilang untuk melihat proses-proses membuat barangan peuter.

Kanak-kanak kemudiannya berkesempatan untuk menguji kreativiti mereka menerusi acara Si Tukang Masak Cilik yang diadakan di kafe yang terletak di Pusat Pelawat.

Pada acara itu, kanak-kanak diberi kek cawan masing-masing dan dikehendaki menghias kek tersebut.

Seterusnya, mereka juga dijemput untuk meninggalkan cap tapak tangan mereka pada sebuah dinding sebagai tanda kenangan buat ibu bapa mereka.

Pengurus Am Royal Selangor Antarabangsa, Yong Yoon Li berkata, di Royal Selangor, pihaknya sedar tentang kepentingan semangat kekeluargaan dan menganggap kesemua pekerja adalah sebahagian daripada keluarga.

“Aktiviti hari ini memberi peluang kepada pekerja-pekerja kami untuk mengeratkan hubungan bersama anak-anak yang dapat melihat tugas-tugas ibubapa mereka.

‘‘Di samping itu, mereka juga mempelajari pelbagai bidang dan kemahiran yang boleh wujud di sebuah tempat kerja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: