|
|
HILANG penglihatan tidak menghalang Henry Wanyoike untuk mengejar cita-citanya sejak kecil - menjadi pelari maraton terkenal dunia.
Lelaki berasal dari sebuah perkampungan kecil, Kikuyu, di Kenya itu bertekad untuk menjadi pelari demi mengubah nasib keluarganya.
Dilahirkan sempurna, Henry, 36, mula hilang penglihatan ketika berusia 21 tahun.
Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Apabila dia bangun dari tidur pada suatu pagi keadaan keliling gelap dan kelam. Pada masa sama kelopak matanya terasa perit bagai dihiris-hiris.
Doktor memberitahu penglihatannya kabur dan akhirnya menjadi buta akibat tubuh Henry yang kekurangan zat dan vitamin.
Kehilangan salah satu deria paling penting itu membuatkan Henry bagai hilang arah untuk seketika.
Mmasa depannya dirasakan cukup gelap, segelap pandangannya. Namun apa yang lebih merisaukan ialah nasib ahli keluarga.
Selama ini dia yang bertindak sebagai ketua keluarga dengan menampung segala keperluan ibu dan adik perempuannya dengan mengambil upah membaiki kasut.
Lebih malang apabila saudara mara dan rakan-rakan mula menjauhkan diri seolah-olah kecacatan yang dialami bagai penyakit berjangkit yang tidak boleh didekati.
Tiga tahun Henry hidup bermuram durja mengenang nasib malang yang menimpa. Peralatan membaiki kasut yang menjadi punca pendapatannya terbiar langsung tidak disentuh.
‘‘Ketika itu fikiran saya kosong. Saya tidak nampak apa yang boleh saya lakukan kecuali menjadi peminta sedekah,’’ ujarnya mengenangkan kisah 15 tahun lalu.
Semangat baru
Namun tempoh berduka akhirnya menemui titik noktah apabila suatu hari terlintas di fikiran sampai bila dia harus berkeadaan begitu.
‘‘Sepatutnya saya perlu berusaha memperbaiki nasib keluarga dan berhenti daripada terus bersedih,’’ ceritanya lagi.
Lalu dengan kekuatan yang baru, Henry bangun bagi membuktikan kepada semua yang dia juga boleh berjaya.
Dia bertekad untuk memenuhi cita-cita yang terpendam sejak kecil untuk menjadi pelumba lari.
Sejak itu dengan berseluar pendek dan berkaki ayam, Henry mula berlatih berlari di lereng-lereng bukit di kawasan kampungnya.
‘‘Pada ketika itu ramai yang memperlekeh dan mentertawakan saya. Saya simpan gelak tawa mereka. Saya jadikan pembakar semangat bagi mencipta kejayaan.
‘‘Saya tanamkan tekad dalam diri biarpun buta saya boleh buktikan kepada mereka saya akan berjaya ’’ ujarnya
Satu lagi perkara yang menjadi pembakar semangat Henry ialah kehadiran rakan karibnya, Joseph Kibunja.
Di sebalik musibah yang menimpa Henry, sebagai rakan karib Joseph tidak sedikit pun berganjak dan terus menemani lelaki itu.
‘‘Walaupun saya kehilangan ramai kawan, saya masih mempunyai Joseph dan hari ini kamu melihat dia masih berlari bersama saya,” ujarnya dalam satu temu bual khas di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Henry dan Joseph berada di Malaysia sempena penglibatan mereka dalam acara Marathon Standard Chartered Kuala Lumpur (MSCKL) 2010 yang berlangsung hujung minggu lalu.
Dalam pada itu menurut Henry, dia mempercayai Joseph sepenuhnya malah pelbagai onak dan duri mereka lalui bersama-sama.
‘‘Saya bersyukur, kerana dipertemukan dengan dia, malah dialah mata saya. Malah semua kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa Joseph yang menemani saya dalam setiap larian dan latihan,” katanya
Ceritanya lagi, ketika di trek larian Joseph akan bertindak memberikan isyarat melalui seutas tali sepanjang satu kaki diikat di antara pergelangan tangan mereka berdua.
Tali itulah yang digunakan Joseph untuk menunjukkan laluan dan menarik semula Henry jika tersasar ketika berlari.
‘‘Dengan menggunakan tali ini, Joseph tidak perlu membazir tenaga memberi arahan secara lisan.
“Dia hanya menarik saya ke kiri dan kanan untuk menunjuk arah larian. Cuma sesekali dia meminta saya supaya menambah kelajuan apabila menyedari ada pencabar dari belakang,” ujar Henry.
Ceritanya lagi, walaupun tidak dapat melihat garisan penamat, kemenangan dalam setiap pertandingan tetap menjanjikan Henry kegembiraan.
Kini maraton telah membawa Henry menjelajah hampir ke seluruh dunia dan menyertai pelbagai kejohanan.
‘‘Hari ini saya boleh berbangga kerana saya bukan berlari untuk diri sendiri tetapi juga menjulang nama negara,” kata pemegang rekod dunia dalam acara larian 5,000 meter dan 10,000 meter pada Kejohanan Paralimpik Athen, Greece pada tahun 2004 itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: