Tuesday, July 13, 2010

Pelajar cedera disepak guru besar

MOHD ZAKEE  menunjukkan laporan polis berhubung kejadian guru  besar  menyepak anaknya, Muhammad Irfan.
MOHD ZAKEE menunjukkan laporan polis berhubung kejadian guru besar menyepak anaknya, Muhammad Irfan.
Marah murid tak patuh arahan tulis jawapan pada kertas soalan

PASIR PUTEH: Seorang murid Tahun Empat terpaksa dikejarkan untuk rawatan di Hospital Tengku Anis (HTA) dekat sini, selepas belakangnya cedera akibat disepak oleh seorang guru besar sebuah sekolah di jajahan ini.Kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada Isnin lalu, ketika mangsa mengikuti kelas mata pelajaran Sains.Muhammad Irfan Mohd Zakee Zakaria didakwa ditendang guru besar terbabit selepas menulis jawapan mata pelajaran Sains pada kertas jawapan, dan bukannya pada kertas soalan seperti diarahkan guru terbabit.

Bapa murid terbabit, Mohd Zakee Zakaria, 39, berkata beliau mengetahui kejadian yang berlaku terhadap anaknya itu sejurus pulang dari kerja pada petang berkenaan.

“Saya mendapati sepakan guru terbabit meninggalkan kesan lebam dan bengkak. Mulanya saya menyangka keadaan tidak begitu serius dan tidak membawanya mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, sebelah malamnya, anak saya mengadu kesakitan dan mengalami sesak nafas hingga mukanya pucat dan kebiruan. Bimbangkan keadaan itu, saya membawanya ke HTA sebelum diberikan ubat penahan sakit dan dibenarkan pulang,” katanya kepada ketika ditemui wakil media di sini, semalam.
Mohd Zakee berkata, pegawai perubatan HTA yang merawat anaknya menasihatkan beliau membuat laporan polis kerana bimbang kecederaan dialami mempunyai kesan jangka panjang.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, ada individu datang ke rumahnya seolah-olah mewakili guru besar terbabit dengan menyampaikan pesanan supaya tidak memanjangkan kejadian itu, termasuk tidak didedahkan kepada media.

“Lelaki terbabit menasihatkan saya supaya tidak menghebahkan kejadian ini dengan alasan dia sudah berhubung dengan wakil media bagi menghalang menyiarkan berita,” katanya.

Sementara itu Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh, Ismail Ghazali, ketika dihubungi, berkata beliau sudah mengarahkan guru besar sekolah terbabit menyediakan laporan bertulis berhubung kejadian itu.

“Perkara ini akan dipanjangkan kepada pihak atasan untuk membuat sebarang keputusan yang terbaik. Kita akan mengambil satu pendekatan menang-menang dalam soal ini, tetapi biarlah laporan mengenai kejadian itu sampai kepada saya sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

1 comment:

  1. xadilllll,seorg guru mendidik anak murid bukan menderaaa,knp harus tutup kesalahan org tu?mn hak makbapa bila anak di dera org?tindakan guru tu hampir meragut nyawa budak tu

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: