|
|
KUALA LUMPUR 27 Julai - Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mencatat sejarah apabila menjadi Panglima TLDM pertama dipilih menerima anugerah Fellow dari Institut Kejuruteraan Marin, Sains dan Teknologi (Imarest), yang beribu pejabat di London.
Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis ringkas yang disempurnakan Presiden Imarest Wilayah Asia Tenggara, George David Kinrade di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.
Melalui pemilihan itu, Abdul Aziz akan terlibat dengan Imarest untuk mengembangkan ilmu dan teknologi terkini dalam bidang kejuruteraan marin dan dikongsi bersama oleh ahlinya dari seluruh dunia.
"Ini merupakan satu anugerah besar kepada saya kerana cita-cita saya sebelum menyertai TLDM ialah untuk menjadi jurutera dan hari ini saya diiktiraf oleh sebuah badan jurutera profesional.
"Pada masa sama, saya menyeru kepada anggota TLDM supaya mendaftar sebagai ahli Imarest kerana ia merupakan sebuah badan yang diiktiraf dan seterusnya akan membawa imej TLDM ke peringkat antarabangsa," katanya semasa berucap selepas menerima anugerah itu.
Turut hadir Pengerusi Imarest Malaysia, Datuk Ir. Ahmad Murad Omar.
Sementara itu, Kinrade berkata, latar belakang pendidikan Abdul Aziz dalam bidang kejuruteraan serta pencapaian kerjayanya melayakkan beliau dipilih menerima pengiktirafan itu.
''Pengalaman Abdul Aziz merupakan sesuatu yang berharga dan diharapkan dapat dikongsi bersama oleh ahli Imarest di seluruh dunia.
''Saya juga berharap jalinan kerjasama yang kukuh dengan TLDM yang turut mempunyai jurutera marin profesional dapat diwujudkan demi manfaat bersama,'' katanya.
Imarest yang ditubuhkan di London sejak tahun 1889 merupakan badan profesional untuk tenaga kerja bidang marin yang mempunyai 15,000 ahli berdaftar di lebih 100 buah negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: