|
|
DALAM arus modenisasi hari ini, memang tidak dapat dinafikan lagi teater tradisional semakin dipinggirkan dan ternyata ia amat menyedihkan.
Malah, kalau dibicarakan tentangnya kepada generasi muda hari ini, percayalah barangkali hanya segelintir sahaja yang tahu tentang teater tradisi ini.
Selebihnya hanya mampu menggelengkan kepala dan mengerutkan dahi sebagai tanda tidak tahu mahupun tidak faham dengan apa yang diperkatakan.
Mungkin sesetengahnya hanya tahu tentang mak yong, wayang kulit, randai, hadrah dan menora tetapi bagaimana pula dengan Mek Mulung?
Sekadar menyegarkan kembali ingatan, Mek Mulung merupakan sebuah teater tradisional yang cukup popular di negeri bahagian utara tanah air.
Sering kali dipentaskan sebagai wadah hiburan kepada masyarakat tempatan, Mek Mulung yang sudah pun berusia 500 tahun itu dikatakan sebagai salah sebuah teater tradisional yang paling tua di negara ini.
Struktur persembahan Mek Mulung memang cukup menarik apabila ia dimulakan dengan lagu bertabuh di mana semua alat muzik dimainkan serentak.
Kemudian, ia diikuti pula dengan lagu bertabik sebagai pembuka panggung. Biasanya lagu ini dinyanyikan oleh watak Tuan Puteri dengan diiringi korus.
Sejurus selepas itu, setelah selesai nyanyian dan tarian oleh Tuan Puteri, barulah hikayat penceritaan dimulakan.
Untuk menyemarakkan kembali semangat Mek Mulung yang semakin dilupakan itu, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) akan mementaskan Mek Mulung Dewa Muda bermula 30 Julai ini sehingga 1 Ogos.
Bertempat di dewan penuh prestij iaitu Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KSPP akan mempamerkan kehebatan mereka buat kali ketiga menerusi teater tersebut.
Untuk pengetahuan, Mek Mulung Dewa Muda merupakan kelangsungan daripada kejayaan dua teater Mek Mulung yang pernah dipersembahkan di lokasi yang sama sebelum ini.
Kali pertama Mek Mulung dipentaskan di DFP adalah pada tahun 2002 iaitu Mek Mulung Cahaya Bulan.
Lima tahun kemudian, KSPP mementaskan Mek Mulung Malim Bongsu pula yang mencatatkan kejayaan yang cukup membanggakan.
Apa yang membuatkan KSPP bangga apabila kejayaan mementaskan Mek Mulung dua kali sebelum ini telah berupaya membuka mata ramai pihak untuk terus memeliharanya daripada pupus.
Ini dapat dibuktikan apabila Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) telah memperkenalkan subjek Mek Mulung dalam modul pembelajarannya.
Malah, dalam Festival Kuala Lumpur 2010, teater Mek Mulung juga disenaraikan sebagai salah sebuah program untuk festival tersebut.
Penerbit Mek Mulung Dewa Muda, Hartini Abdullah menyifatkan ia sebagai pencapaian yang sungguh memberangsangkan sekali gus membuktikan masih lagi ada pihak yang memandang serius akan kepupusan teater tradisi ini.
"Sememangnya perkara ini amat menggembirakan kami kerana masih lagi ada pihak yang mahu terus memartabatkan teater tradisi ini.
"KSPP pun dari mula lagi memang tidak ketinggalan mahu terus mengangkat warisan negara ini ke satu tahap yang tinggi agar ia dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat," ujarnya.
Hartini berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton sedutan Mek Mulung Dewa Muda yang berlangsung di DFP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mek Mulung Dewa Muda merupakan program terakhir DFP sebelum tirai musim 2009/2010 dilabuhkan.
Teater tradisional tersebut diarahkan oleh Roslee Mansor manakala A Sam Palal pula bertindak sebagai koreografer selain Abdul Rohni Mat Noor selaku pengarah muzik.
Dibarisi hampir 50 orang pelakon dan penari KSPP, Hartini menjelaskan, terdapat beberapa perubahan yang dilakukan oleh pihaknya demi memantapkan lagi penceritaannya.
Maka itu, tidak hairanlah apabila KSPP begitu optimis teater ketiga Mek Mulung ini akan mengulangi kejayaan serupa yang pernah dicipta.
Apatah lagi, dengan sentuhan kontemporari menerusi dialog dalam Mek Mulung Dewa Muda, KSPP yakin pementasan itu mampu menarik perhatian ramai khususnya generasi muda untuk menontonnya.
"Biarpun diberi suntikan kontemporari dan komersial, produksi ini masih mengekalkan nilai tradisi yang cukup kuat agar acuan Mek Mulung itu tidak tersasar dari landasannya," katanya mengenai teater yang berasal dari Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah itu.
Untuk itu, 10 buah lagu akan diselitkan dalam teater yang merupakan lagu dan muzik asal teater Mek Mulung.
Sementara itu, bagi Roslee pula, dia tidak menafikan sebelum ini ada pihak yang telah mementaskan Mek Mulung Dewa Muda.
Tetapi, katanya, ia tidak selengkap seperti mana dalam cerita asalnya. Untuk itu, dia mencuba sedaya-upaya untuk menampilkan jalan cerita penuh dalam pementasan ini.
"Selain itu, teater ini mahu menonjolkan penceritaan tentang bagaimana seorang lelaki yang mengejar cinta sejatinya walaupun tidak pernah mengenal wanita idamannya itu," katanya yang turut memegang watak sebagai Awang Selamat dalam teater ini.
Dari segi pemilihan pelakon pula, biarpun ia sepenuhnya dibarisi oleh warga KSPP, Roslee menjelaskan, mereka perlu menjalani uji bakat terlebih dahulu.
Rasionalnya untuk mencari pelakon yang benar-benar sesuai dalam membawakan watak-watak yang diketengahkan dalam teater ini.
Bagi watak Dewa Muda, ia dibawakan oleh Rizal Mohd. Lazim manakala Haslinda Mohd. Ali pula memerankan watak Puteri Ratna Emas.
Tiket-tiket untuk menyaksikan Mek Mulung Dewa Muda kini sudah mula dijual dengan harga RM15, RM30, RM50 dan RM60. Untuk tempahan dan pembelian tiket, bolehlah menghubungi talian 03-2051 7007 atau fakskan kepada 03-2051 7077.
Sebarang pertanyaan, boleh juga dihubungi menerusi alamat e-mel dfp_boxoffice@petronas.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: