BAGI anda yang tidak tahu untuk ke mana Sabtu ini, apa kata anda datang ke Dataran Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan untuk sama-sama memeriahkan Konsert Mini Pancaindera yang akan berlangsung di situ.
Konsert yang akan diadakan pada 3 Julai bermula pukul 8.30 malam menampilkan hampir 10 orang artis popular tanah air yang akan menghiburkan pengunjung-pengunjung yang hadir pada malam tersebut.
Barisan artis yang sudahpun mengesahkan akan membuat persembahan termasuklah Amir Ukay's, Aril (AF6), Imran Ajmain, Azza Elite, Roslan Shah, Amyza Aznan, Razali Hussain, Amylea Azizan, Farahdhiya dan ramai lagi
Pada awal Mei yang lalu, Konsert Mini Pancaindera sudahpun singgah di Dataran Teluk Kemang dan mendapat sambutan di luar dugaan dengan kehadiran hampir 30,000 pengunjung.
Kehangatan Konsert Mini Pancaindera diteruskan pula di Johor Bahru (30 Mei) dan di Bentong, Pahang, hujung minggu lalu yang menyaksikan sambutan luar biasa penduduk setempat.
Konsert Mini Pancaindera diadakan sempena Karnival Port Dickson 2010 pada 2 hingga 4 Julai ini. Sebagai pantai peranginan popular di Malaysia, Dataran Sri Kemang bakal menjanjikan kehangatan apabila seramai 70,000 pengunjung dijangka hadir menyerbu karnival tiga hari itu.
Apatah lagi dengan pelbagai acara telah dirangka, karnival anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sembilan dan disokong Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Port Dickson itu bakal menyediakan pelbagai acara kepada pengunjung.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Datuk Mohammad Razi Kail, beliau yakin, penganjuran kali ini dapat menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun lalu.
Pihaknya menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM30,000 untuk pemenang-pemenang dalam pelbagai acara yang disediakan.
Sementara itu, Konsert Pancaindera yang dibawa khas oleh akhbar Mingguan Malaysia bakal menjadi tarikan kepada warga Malaysia untuk datang ke Port Dickson sambil menikmati keindahan dan pantainya yang bersih," jelasnya lagi.
"Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk Pesta Pancing Port Dickson, konsert artis-artis popular, karaoke idol dan pertandingan mewarna kanak-kanak tadika.
"Selain itu, pengunjung juga boleh beriadah selain menyaksikan acara pertandingan congkak terbuka yang melibatkan penyertaan 200 peserta.
"Saya berharap karnival yang diadakan tahun ini mampu menarik pelancong dalam dan luar negara bagi merancakkan lagi kempen promosi di pantai peranginan popular di Malaysia.
"Apa yang penting, melalui karnival ini, ia dapat menyedarkan rakyat mengenai kepentingan menjaga khazanah alam semula jadi terutama dari segi kebersihan dan mengekalkan keasliannya," kata Mohammad Razi lagi.
Pada karnival itu, pantai Teluk Kemang di Batu 8 bakal menjadi tumpuan kaki pancing apabila pertandingan memancing menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai lebih RM20,000.
Selaku wakil artis, sudah pasti Roslan Shah juga merasakan debaran di samping perasaan teruja kerana dapat kembali ke Dataran Teluk Kemang buat kali kedua.
Penyanyi muda Imran Ajmain pula menganggap penyertaan dalam Konsert Pancaindera kali ini sebagai peluang untuk bertemu secara lebih dekat dengan peminat yang menyokongnya selama ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: