|
|
JIKA di Hollywood, banyak drama bersiri yang mengisahkan kumpulan wanita yang berkongsi kisah suka-duka dalam menempuhi kehidupan seharian di ibu kota diterbitkan.
Desperate Housewives, Lipstick Jungle, Sex And The City merupakan antara drama bersiri yang berjaya mengetengahkan wanita sebagai watak utamanya.
Drama-drama tersebut memainkan kisah wanita yang datang dari pelbagai latar-belakang, konflik dan rahsia di sebalik kehidupan mereka yang menarik lalu membuatkan penonton melekat di kaca televisyen.
Kini, menggunakan formula yang sama, Astro tampil dengan sebuah drama bersiri yang berkisar kehidupan empat jelitawan yang terdiri daripada Lisa Surihani, Julia Ziegler, Chermaine Poo dan Linda Hashim.
Bezanya, jika drama Hollywood itu penuh glamor dengan pakaian yang serba seksi dengan wanita-wanita yang sentiasa berani berfesyen, sentuhan pengarah Faizal Ishak dan Joyce Lee berkali ganda sopan, dengan menampilkan wanita-wanita bertudung sebagai pendukung drama ini.
Nama drama ini, Tudung Ekspres, sudah cukup menerangkan karakter watak utama bagaimana yang akan dibawa mereka dan yang pastinya manis bertudung.
Drama bersiri 30 minit ini bakal menemui penonton pada setiap hari Khamis pada pukul 9.30 malam bermula 8 Julai ini menerusi Astro Prima (saluran 105, Astro).
Drama bersiri 13 episod ini mengisahkan kehidupan empat orang wanita bertudung yang memiliki watak dan kisah tersendiri.
Tudung Ekspres memberi peluang untuk penonton menyelami pelbagai isu dan emosi yang dialami keempat-empat wanita bertudung ini dalam mengejar kebahagiaan hidup di samping mengetengahkan isu-isu semasa yang berkait rapat dengan imej dan perwatakan mereka.
Ujar Faizal, imej wanita bertudung diangkat dalam drama terbarunya ini kerana bagi membetulkan tanggapan sesetengah orang yang wanita bertudung ini sedikit mundur kerana banyak pantang-larang dalam kehidupan mereka.
Katanya, lazimnya wanita bertudung disalah tidak berfikiran terbuka dan tidak berani memajukan diri.
Hakikatnya bagi pengarah itu, mereka seperti juga wanita lain bersemangat dan bercita-cita tinggi, memiliki kehidupan yang menarik.
Namun Faizal mengakui, apa yang membezakan golongan ini mereka bertudung dan begitu menitik berat soal imej dan personaliti.
"Kami membawa kisah ini secara bersahaja, seperti norma wanita bertudung di bandar sekarang di mana mereka menjadi diri sendiri agar penonton tidak rasa seperti ditipu.
"Ekspres dalam tajuk drama ini merupakan metafora yang digunakan di mana wanita-wanita ini sentiasa maju kehadapan walaupun bertudung keran ia tidak membataskan niat murni mereka.
"Selain itu, tempat pertemuan keempat-empat watak utama ini di dalam sebuah tren komuter lalu mereka menjadi sahabat juga menerangkan maksud 'ekspres' itu," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar Tudung Ekspres baru-baru ini.
Menjalani pengambaran di dalam komuter, krew produksi ini telah bergerak dari pusatnya di KL Sentral, Kepong malah sehingga ke tanjung Malim, Perak.
Tambah Faizal, Lisa, Linda, Julia serta Charmaine dipilih menerajui watak utama walaupun mereka tidak bertudung kerana bagi memudahkan babak-babak yang dilakonkan di rumah.
Terangnya, jika mereka memilih yang sedia ada bertudung, ia akan menimbulkan sedikit masalah dimana mereka ingin menjadikan drama ini secara realiti yang mungkin.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: