Friday, July 9, 2010

Padi baru MARDI berdaya tahan, cepat matang


NOH OMAR (kanan) memotong padi jenis baru sambil diperhatikan oleh Abdul Shukor (dua dari kanan) di Pusat Estet Benih Padi Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah semalam.


KAMPUNG GAJAH - Dua jenis padi baru yang mempunyai daya tahan tinggi terhadap racun rumpai dan lebih cepat matang yang dikenali sebagai MR 220CL1 dan MR 220CL2 diperkenalkan di sini semalam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, padi baru itu merupakan progeni hasil kacukan MR 220 dan IMI-TR1770 iaitu spesies padi dari Amerika Syarikat yang sebelum ini dilesenkan penggunaannya kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk tujuan penyelidikan.

Menurutnya, padi baru itu dihasilkan menerusi kajian dan penyelidikan MARDI selama tujuh tahun bersama sebuah syarikat antarabangsa, BASF (M) Sdn. Bhd. (BASF).

Tambah beliau, ia dijangka dipasarkan dalam masa terdekat ini.

"Padi jenis ini mampu mencegah masalah padi angin yang mana sebelum ini ia telah menyebabkan ramai petani kerugian hasil tanaman sehingga 74 peratus.

"Pada tahun 2004, dianggarkan sebanyak RM90 juta kerugian dialami para petani di seluruh negara akibat masalah padi angin dan jumlah tersebut meningkat setiap tahun," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pengisytiharan jenis padi baru tersebut di Pusat Estet Benih Padi Felcra Seberang Perak di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Felcra, Datuk Tajudin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Noh turut melancarkan pakej sistem pengeluaran padi baru kepada para petani khususnya bagi menangani masalah padi angin yang dikenali sebagai Sistem Pengeluaran Clearfield.

Tambah beliau, menerusi Sistem Pengeluaran Clearfield, petani hanya perlu menggunakan benih padi jenis baru ini bersama racun rumpai Imidazolinone yang dihasilkan BASF selain mengikuti cara pengurusan tertentu yang ditetapkan.

"Petani boleh menggunakan sistem ini sekurang-kurangnya untuk dua musim tanaman pertama dan ia berupaya menyelesaikan masalah padi angin pada sawah masing-masing," katanya.

Menurut Noh, buat permulaan, prestasi kedua-dua jenis padi tersebut telah diuji secara bersepadu di Ladang Padi Felcra Seberang Perak di sini dan hasil yang diperolehi menerusi benih baru tersebut setanding dengan MR 220 iaitu di antara 5.5 hingga 7.6 tan setiap hektar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: