Wednesday, July 21, 2010

Nmachi si bayi ajaib

LONDON: Sepasang suami isteri kulit hitam terkejut apabila anak bongsu mereka dilahirkan dengan sifat berbeza sama sekali - berkulit putih, bermata biru dan berambut perang.

ANGGOTA BARU...pasangan Ben dan Angela bersama anak mereka.
ANGGOTA BARU...pasangan Ben dan Angela bersama anak mereka.
Selepas diperiksa, bayi perempuan itu, Nmachi Ihegboro (bermaksud Keindahan Tuhan), didapati normal dan bukannya menghidap penyakit albino.

Bapanya, Ben, 44, berkata dia dan isterinya, Angela, amat terkejut dan sekadar mampu memerhatikan Nmachi selepas dia dilahirkan.

Bagi Angela, 35, anak bongsunya itu dianggap ‘bayi ajaib’.

Kata Ben, apabila kali pertama melihat Nmachi, dia bergurau dan bertanya: “Benarkan dia anak saya?”

“Sebenarnya, perkara pertama yang terlintas di kepala ketika itu adalah pertanyaan - di mana silapnya?”Namun, katanya, rasa tertanya-tanya itu segera hilang selepas melihat Nmachi dikelilingi abang dan kakaknya - semua berkulit hitam - di rumah mereka di London Selatan.


Katanya, dia yakin Nmachi memang lahir sebagai darah dagingnya.“Saya kenal Angela dan tidak mungkin dia curang,” katanya.


Kelahiran Nmachi memang memeningkan kepala pakar genetik kerana pasangan berasal dari Nigeria itu tidak mempunyai sejarah perkahwinan campur sebelum ini.

Ben tiba di Britain bersama Angela lima tahun lalu dan bekerja dengan syarikat South Eastern Trains.

Antara kemungkinan yang ada bagi menjelaskan fenomena itu, kata mereka, adalah gen tertentu yang tenggelam selama beberapa generasi sebelum muncul dalam tubuh Nmachi.

Doktor di Hospital Queen Mary di Sidcup mengesahkan bayi itu bebas daripada penyakit albino.

Kata Ben, ibunya berasal dari Nigeria walaupun kulitnya agak cerah berbanding penduduk lain di negara itu.

“Kami tidak pasti jika ada nenek moyang terdahulu berkulit putih.

“Adakah ia berlaku akibat pertukaran genetik? Jika benar pun, bagaimana dengan rambutnya yang perang?” katanya.

Ketua Unit Genetik Kemanusiaan di Universiti Oxford, Prof Bryan Sykes, berkata kelahiran Nmachi itu memang ‘luar biasa’.

Katanya, dalam percampuran ras, kemungkinan bayi berkulit cerah di kalangan keluarga berkulit gelap memang biasa berlaku.

“Ia tidak menghairankan di kalangan populasi yang terdedah dan banyak percampuran seperti Afro-Caribbean.

“Tetapi di Nigeria, percampuran ras sangat terhad,” katanya.

Bagi Sykes, kemungkinan Ben dan Angela mewarisi gen kulit putih di kalangan nenek moyang masing-masing.

“Bagaimanapun, sifat rambut Nmachi luar biasa kerana tidak ramai kanak-kanak berambut perang dilahirkan begitu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: