Monday, July 26, 2010

Nabil tetap hormat Apek



Insiden yang membabitkan pelawak terkenal, Saiful Apek yang terlibat dengan masalah penyalahgunaan dadah sedikit masa lalu, sememangnya menggemparkan masyarakat khususnya para peminat.

Berikutan kejadian itu, pelbagai gambaran negatif dilabelkan kepada Apek yang sebelum ini cukup sinonim dengan kumpulan jenaka, Senario.

Namun buat pelawak muda, Ahmad Nabil Ahmad atau lebih dikenali sebagai Nabil Raja Lawak, dia tetap menganggap Apek sebagai mentornya walau apa pun yang terjadi.

”Saya sendiri terkejut dengan berita itu. Sepanjang saya mengenalinya, saya anggap dia sebagai mentor, kawan dan juga abang saya. Dia tidak pernah menyuruh saya membuat kerja-kerja yang tidak betul, sebaliknya banyak menasihatkan diri saya seperti mana seorang abang memberi nasihat kepada adiknya dan seorang guru memberi nasihat kepada anak muridnya.

”Apa yang boleh saya katakan, setiap manusia itu tidak pernah sempurna dan apa salahnya kita beri dia peluang untuk memperbaiki dirinya,” ujar Nabil ketika ditemui di majlis pelancaran teater muzikal Cuci di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Anak kelahiran Mambau, Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, selepas kejadian tersebut dia pernah menghantar beberapa SMS kepada Apek kerana sedar, Apek memerlukan sokongan moral daripada rakan-rakan. Namun bekas juara Raja Lawak musim ke-2 itu mengakui belum berkesempatan bertemu muka dengannya sehingga kini.

Nabil yang sebelum ini pernah membintangi filem ‘Kecoh Betul’, ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’ dan ‘Pisau Cukur’ berharap agar para peminat dapat memberikan Saiful peluang sekali lagi untuk terus menghiasi dunia seni tempatan.

Pelakon telemovie ‘Sonata Labu Labi’ dan ‘Hua, Hua, Hua’ itu juga menyatakan sebagai selebriti sememangnya mereka semua perlu menjaga tingkah laku kerana peminat selalu menjadikan para selebriti sebagai idola.

Oleh sebab itu kata Nabil, selama ini dia selalu menjauhkan diri daripada gejala yang tidak bermoral termasuklah tidak menghisap rokok serta minum minuman keras walaupun dia pernah digosipkan melakukan kegiatan tersebut.

”Saya cukup terkilan apabila satu ketika saya dituduh sebagai selebriti yang suka minum arak. Di sini saya mahu beri penjelasan bahawa saya tidak pernah menyentuh arak dan tidak mahu dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak pernah saya lakukan,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Lelaki dalam Festival Filem Malaysia ke-22.

Sementara itu, Nabil yang ditemui selepas pelancaran Cuci The Muzikal di Istana Budaya melahirkan rasa bimbang dan teruja kerana diberi peluang menjayakan pementasan tersebut.

Nabil yang diberi peluang menggantikan tempat AC Mizal mengakui dia tidak dapat mengelak jika penonton membuat perbandingan antara dia dan Ac.

“Saya cuba sedaya upaya untuk bersama yang lain dan memberi komitmen 200 peratus. Saya tidak takut dihentam atau pun dibandingkan dengan Ac. Tapi saya akan membawakan wataknya itu dengan cara saya sendiri.

“Lagipun ini adalah teater pertama saya. Pastinya saya akan memberi yang terbaik,” katanya.



Kahwini Irma tahun depan


Bercerita mengenai hubungannya dengan aktres Irma Hasmie, Nabil mengakui bersedia mengahwini Irma tahun hadapan jika tiada aral melintang. Malah ibu Nabil telah beberapa kali meminta agar Nabil segera mengahwini buah hatinya itu.

“Adik-beradik saya kebanyakannya sudah berkahwin. Adik yang bongsu pula akan melangsungkan perkahwinannya bulan tiga tahun depan. Jadi ibu saya sudah bising menyuruh saya berkahwin kerana dia mahu melihat cucunya pula membesar depan mata.

“Jadi jika tiada aral tahun hadapan saya berhasrat untuk menamatkan zaman bujang saya. Pertunangan pula akan berlangsung untuk beberapa bulan sahaja. Saya tidak suka bertunang lama-lama. Tentang majlis pula masih di dalam perancangan. Apa-apa pun saya pasti akan menjemput semua pihak,” kata Nabil yang mengakui kehadiran Irma melengkapkan hidupnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: