Thursday, July 8, 2010

Mekap ubah wajah


Jika ke majlis malam, pilih gaya solekan yang lebih menyerlah.


KUASA mekap mampu mengubah wajah seseorang wanita. Yang polos pucat tanpa secalit warna, ia boleh bertukar kepada jelita dan memukau setiap mata memandang.

Perubahan wajah yang bergantung kepada produk mekap ini sebenarnya memerlukan sentuhan pakar dan mereka yang arif dalam bidang solekan.

Solekan harus disesuaikan dengan keadaan si pemilik wajah dan di mana dia berada. Wanita yang destinasinya hendak ke pejabat harus mengenakan solekan yang sederhana dan tidak keterlaluan. Solekan setiap hari ini boleh dilakukan sendiri oleh si empunya diri dengan mempelajari cara-cara yang betul.

Jika ke majlis malam, solekan harus lebih sedikit dengan warna-warna terang dan berkilat. Jika mengenakan solekan seperti ke pejabat ketika anda hendak ke majlis malam, anda mungkin dikatakan tidak sihat kerana wajah nampak pucat tidak berseri.

Menjadi ratu sehari pula sudah tentu memerlukan seseorang itu disolek tebal. Seharusnya ada perbezaan di antara si ratu dan tetamu wanita yang hadir. Justeru khidmat jurusolek profesional sememangnya diperlukan bagi menata rias wajah si ratu pada hari bahagianya.

Mekap yang cantik dan solekan daripada jurusolek profesional menghasilkan satu kerja seni yang menakjubkan. Pemilihan produk mekap yang betul dan bersesuaian boleh menjadikan ini satu kenyataan.

Menurut Prinsipal Kecantikan Make Up For Ever (Mufe), Alicia Chong, walaupun produk Mufe dicipta bagi memenuhi kehendak industri seni persembahan namun mekap ini juga amat sesuai untuk kegunaan wanita biasa untuk dipakai setiap hari.

''Mufe menjadi pilihan utama bagi mekap artis profesional, pelakon, penyanyi dan mereka yang terlibat dalam industri kecantikan di seluruh dunia. Ini kerana Mufe mempunyai rangkaian produk yang paling banyak dan tiada jenama lain yang mempunyai rangkaian yang sebegini banyak.

''Kami (Mufe) mempunyai lebih 1,400 produk dan warna mekap yang dibuat khas untuk semua jenis kulit orang yang ada di seluruh dunia. Tidak kira anda berkulit cerah, sawo matang, coklat, gelap atau muda, tua, remaja dan sebagainya semuanya sesuai menggunakan Mufe ,'' ujar Alicia ketika ditemui baru-baru ini.

Pada pertemuan tersebut, jurusolek Mufe telah menunjukkan tiga jenis solekan yang berbeza untuk tiga acara, iaitu solekan ke pejabat, ke majlis malam dan solekan pengantin.

Alicia menambah, Mufe dicipta pada tahun 1984 oleh Dany Sanz, seorang pelukis dan pengukir Peranchis yang kemudiannya bertukar menjadi mekap artis. Tahun lalu, Mufe telah menyambut ulang tahunnya ke-25 tahun.

''Dany yang memang gemar membancuh mekap kerana warna-warnanya yang cantik pada mulanya hanya membuatnya untuk dirinya sendiri.

''Kepelbagaian warna mekap Mufe menjadikannya sebagai pilihan golongan seni dan mereka meminta Dany untuk menghasilkan lebih banyak produk Mufe. Bayangkan untuk pembayang mata sahaja, Mufe mempunyai lebih 150 warna dan 120 warna gincu bibir. Ini belum lagi dicampur dengan bedak asas, bedak padat, pemerah pipi dan banyak lagi.

''Sebab itu, pakar-pakar kecantikan lebih gemar menggunakan Mufe kerana warna yang pernah digunakan 15 tahun dulu masih ada pada Mufe sedangkan produk lain sudah tidak menggunakan warna ini,'' ujar Alicia yang pernah memegang portfolio jenama-jenama berprestij seperti Issey Miyake, Jean Paul Gaultier, Bvlgari, Emmanuel Ungaro dan Ferragamo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: