Thursday, July 8, 2010

Gabungan tradisi, moden Innai


Sebahagian koleksi Baharim yang menawan.


Sejak ditubuh dan diperkenalkan pada 2004, jenama fesyen terkenal tempatan, Innai terus melangkah cemerlang dalam penghasilan koleksi rekaan-rekaan moden atau klasik. Sedikit sebanyak ia turut membantu mencetuskan idea kepada penggemar dan pengikut fesyen tempatan untuk tampil cantik serta bergaya.

Terbaru, Innai menempa satu lagi kejayaan dengan memperkenalkan dua jenama baru yang digelar Baharim dan Nuur Innai.

Istimewanya, koleksi Baharim dihasilkan dengan kerjasama pereka fesyen popular yang sebelum ini banyak memenangi pelbagai anugerah fesyen tanah air, Syaiful Baharim.

Manakala koleksi Nuur Innai pula menampilkan rangkaian pakaian muslimah yang sesuai untuk dipakai wanita bertudung dalam pelbagai suasana.

Pengasas dan Pengarah Urusan Innai, Izrin Ismail berkata, jenama tersebut lahir dalam keluarga yang amat mencintai batik dan nilai estetika moden.

Dalam fokus perniagaannya, Innai melangkaui sempadan seni tradisional apabila menggabungkan batik lukisan tangan tradisional dengan rekaan serta sentuhan moden.

"Setiap helai pakaian yang dikeluarkan di bawah Innai mempunyai ceritanya yang tersendiri dari segi warna dan rekaan selain menampilkan ciri-ciri khazanah Malaysia.

"Rekaan Innai menampilkan motif Melayu, abstrak, flora dan keunikan lukisan lain yang mendapat pengiktirafan di peringkat tempatan serta antarabangsa.

"Selepas enam tahun kami merasakan sudah sampai masanya untuk kami memperluaskan dunia fesyen kami dengan memperkenalkan dua jenama baru, Baharim dan Nuur Innai.

"Langkah ini bagi memberi lebih banyak pilihan kepada penggemar serta pengikut fesyen tempatan terutama pelanggan setia yang kami hargai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Pertunjukan Fesyen Innai di Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu tetamu dijamu mata dengan peragaan 22 koleksi Baharim dan lebih 10 koleksi Nuur Innai.

Menurut Izrin, tarikan rekaan terbaru oleh Syaiful adalah ia dihasilkan untuk digayakan wanita yang mempunyai minat tinggi dalam berfesyen.

"Golongan ini lazimnya ingin tampil mengikut gaya terkini tetapi tidak gemar kelihatan terlalu menonjol," katanya.

Bagi yang inginkan fesyen ringkas tetapi dilihat sedikit seksi, menawan dan unik, koleksi Baharim adalah pilihan bijak serta terbaik.

Lebih mempersonakan, koleksi Baharim dihasilkan dalam warna-warna yang kebanyakannya semula jadi seperti kosong, sedikit merah, ungu lembut dan kuning air.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: