Wednesday, July 7, 2010

Maya Karin & Suami Ke Mahkamah Syariah Hari Ini

PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin,31, dan suaminya Steven David Shorthose,40, atau Muhammad Ali dijadual akan hadir untuk kali kedua ke Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur hari ini.

Kedua-dua pasangan itu dikatakan mahu mengetahui status pendaftaran pernikahan mereka selepas mendaftarkannya pada 24 Jun lalu.

Portal The Malaysian Insider menerusi satu sumber mahkamah menyebut, pasangan itu berkemungkinan akan dikenakan denda berhubung kesalahan lewat mendaftarkan pernikahan.

“Kalau status perkahwinan mereka tidak sah, mereka terpaksa bernikah semula. Sekiranya sah, mereka juga akan berhadapan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan lewat mendaftar perkahwinan yang berlangsung di Itali dua tahun lalu,” kata seorang pegawai mahkamah kepada portal itu.

Maya dan Muhammad Ali sebelum ini merahsiakan prosiding yang berlaku dalam kamar hakim di Mahkamah Rendah Syariah ketika hadir pada 24 Jun lalu.

Bagaimanapun sumber memberitahu pasangan berkenaan dalam proses untuk bercerai tetapi perlu mendaftarkan perkahwinan terlebih dahulu sebelum boleh melakukan prosedur seterusnya.

Maya dan Muhammad Ali diijabkabulkan di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008.

Majlis resepsi kedua mempelai diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) beberapa minggu selepas itu.

Selepas dua tahun bernikah, hubungan Maya dengan guru Matematik di sebuah sekolah antara bangsa itu dikatakan menghadapi krisis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: