TEMERLOH - Tindakan jahat sekumpulan empat penjenayah warga asing bersenjatakan parang dan keris mengikat serta mengurung seorang penjual ikan ketika menyamun rumah mangsa tidak bertahan lama apabila kesemua mereka mati ditembak tidak sampai 30 minit selepas melakukan perbuatan tersebut.
Kejadian pukul 2.45 pagi semalam itu berlaku apabila kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Honda Civic curi. Kenderaan itu dikejar kereta peronda polis sejauh lima kilometer dari lokasi kejadian di Bangau Tanjong di sini.
Siasatan awal mendapati penjenayah tegar tersebut dipercayai pernah melakukan tidak kurang daripada 20 kes samun di sekitar Temerloh, Maran, Bentong, Jerantut, Bera dan Raub antara Januari hingga Jun lalu.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka pagi semalam apabila jenayah yang baru dirancang di kawasan itu merupakan saat-saat terakhir mereka melihat dunia.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasegaran berkata, polis yang menerima maklumat berhubung satu kes samun telah bergegas melakukan rondaan di situ.
Anggota polis peronda kemudian mengekori sebuah kereta Honda Civic yang dinaiki suspek sejauh lima kilometer dari rumah mangsa.
"Suspek enggan memberhentikan kereta walaupun kita telah memberi arahan sebaliknya terus memecut. Kita terpaksa mengejar mereka selama 10 minit sebelum dapat dipintas di sebuah kilang kayu di Songsang.
"Ketika hendak dihampiri, kesemua mereka keluar sambil menghayunkan parang. Anggota polis yang tiada pilihan lain terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh di sini.
Tambahnya, kesemua suspek mati di lokasi kejadian dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui. Kesemua mayat itu dihantar ke Hospital Sultan Ahmad Shah di Temerloh untuk dibedah siasat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: