|
|
TANGGAL 3 Ogos 2003, terpahat sebagai tarikh penting yang menyaksikan kegigihan seorang anak muda dari Kampung Gajah, Butterworth, Pulau Pinang merentasi Selat Inggeris.
Berjaya menamatkan renangan selama 17 jam 30 minit dan 15 saat, selat sejauh 38.6 kilometer itu menjadi saksi kecekalan beliau mencipta sejarah selaku anak tempatan pertama yang melakukan renangan mencabar itu.
Meski dianggap sesetengah pihak sebagai 'kerja gila' atau mustahil untuk dilaksanakan, namun, bagi pemilik diri bernama Datuk Malik Maidin, semuanya itu tidak bukan penghalang.
Semuanya adalah demi memastikan nama 'Malik Maidin' terpahat sebagai antara ribuan perenang yang telah berjaya berenang menyeberangi selat itu sejak 1890.
Sepanjang tempoh itu, lebih 6,000 orang telah berjaya berbuat demikian manakala 470 orang tidak berjaya menyempurnakan hajat masing-masing.
Pulang ke tanah air dan mendapat pengiktirafan selaku wira negara, apa yang dilakukan Malik sememangnya menjadi pencetus kepada anak muda lain untuk bersama mengejar kejayaan.
Sebaris dengan nama pelayar solo, Datuk Azhar Mansor dan angkasawan pertama negara, Datuk Sheikh Muszaphar Shukor, kejayaan yang dicipta Malik bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan.
Diakui, ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Kerja gila seperti mana yang dimomokkan oleh sesetengah pihak itu menuntut semangat kental dan keberanian luar biasa.
Kini, bertahun berlalu, nama Malik masih diperkata orang. Kejayaan yang dipahat masih dikenang ramai.
Biarpun agak sunyi seketika daripada mendapat liputan media, dalam diam, beliau sebenarnya memfokus pada kerja-kerja 'belakang tabir' untuk membudayakan masyarakat dengan bersukan.
Menjurus pada sukan berbasikal, Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage (M) Sdn. Bhd. bakal menganjurkan Langkawi International Mountain Bike Challenge (LIMBC) 2010.
Mengikut perancangan, LIMBC akan bermula pada 6 hingga 8 Ogos ini di Kampung Tok Senik dan Telaga Harbour Marina, Langkawi.
LIMBC mendapat sokongan penuh Telekom Malaysia Berhad (TM), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Penaung dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertindak sebagai Penaung Kehormat.
Ia melibatkan dua acara iaitu Olimpik Cross Country sejauh 4.3 kilometer satu pusingan di Kampung Tok Senik meliputi acara Junior Men, Elite men, Elite Women dan masters Men. Manakala acara Marathon Cross Country pula sejauh 8.5 kilometer satu pusingan di Telaga Harbour Marina. Acara ini yang turut melibatkan penyertaan terbuka kepada orang ramai untuk menyertainya (dikenali sebagai jambori) dengan mereka yang profesional dan orang biasa akan diasingkan penyertaannya.
Mungkin ada yang berpandangan acara ini akan melibatkan penyertaan pihak luar seperti profesional dan mereka yang berpengalaman namun apabila penyertaan berasingan dibuka kepada orang ramai, ini akan menggalakkan lagi penyertaan mereka dalam sukan mountain bike selain menanam semangat untuk menjalani kehidupan yang sihat.
Hadiah berjumlah RM250,000 menanti pemenang dengan RM150,000 bagi kategori utama. Manakala baki RM100,000 pula akan menjadi milik pemenang jambori dalam bentuk cabutan bertuah.
Cabutan bertuah akan memberi peluang kepada orang ramai untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.
Menurut Malik, yuran penyertaan LIMBC adalah sebanyak RM30 bagi peserta tempatan dan AS$30 (peserta luar).
Penyertaan
Jelasnya, penyertaan LIMBC masih terbuka dan dijangka ditutup pertengahan bulan ini.
Ditanya mengenai gerak kerja penganjuran LIMBC, Malik memberitahu, ia telah dimulakan sejak dua tahun lalu.
''Kami melakukan penyelidikan mengenai program sama yang dianjurkan di beberapa negara luar seperti Afrika Selatan dan Norway.
''Kemudiannya kami bawa program sedemikian ke negara ini. LIMBC akan dijadikan acara tahunan,'' tambahnya.
Menyasarkan 1,000 penyertaan, menurutnya, LIMBC adalah pentas untuk peminat sukan berbasikal tempatan merealisasikan mimpi bersaing dengan pelumba bertaraf antarabangsa.
''Ini juga adalah platform untuk kita mencungkil bakat-bakat baru di kalangan anak muda.
''Antara negara luar yang telah mengesahkan penyertaan adalah Australia, Belanda, Filipina dan Thailand.
''Ada kalangan penyertaan luar itu terdiri daripada pelumba profesional yang bernaung di bawah kelab terkemuka dunia,'' katanya.
Begitulah misi Malik yang komited dalam menggerakkan generasi muda agar menyintai sukan.
Ditanya mengapa memilih Langkawi selaku medan LIMBC, katanya, pulau legenda itu terkenal di mata dunia.
''Langkawi sudah mempunyai jenama tersendiri. Boleh dikatakan nama serta populariti Langkawi dan Malaysia adalah sama meningkat.
''Kemudahan di sana cukup lengkap dengan pengangkutan, lapangan terbang serta penginapan,'' ujar beliau.
Tamat berbicara soal LIMBC, soalan diaju pula mengenai perancangan masa depannya untuk mencipta kejayaan mendatang.
Bagaimanapun, kata Malik, matlamat untuk memahat nama di pentas antarabangsa bukan lagi menjadi keutamaannya dalam masa terdekat ini.
''Buat masa ini, saya fokus pada program-program ke arah menyemarakkan semangat sukan.
''Tidak ada perancangan untuk apa-apa program lain,'' tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: